Monday, February 16, 2009

spekulasi dan populariti...AS tipu dunia mendarat di bulan?


TIDAK ada bintang di belakang seorang angkasawan AS yang berjalan di bulan pada Julai 1969. LONDON - Hampir 40 tahun selepas angkasawan Amerika Syarikat (AS), Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, kesangsian berhubung peristiwa bersejarah itu semakin hangat diperkatakan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Sebahagian besar orang percaya bahawa pendaratan di bulan merupakan satu penipuan terbesar dalam sejarah manusia. Siaran televisyen yang menunjukkan Armstrong turun dari tangga kapal angkasa Apollo 11 dan menjejakkan kakinya ke permukaan bulan kelihatan kabur dan kelabu. Sehingga kini terdapat golongan yang percaya angkasawan AS menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969 sebenarnya diadakan dalam studio atau di sebuah gurun.

Menurut pihak pereka teori konspirasi, roket yang membawa Armstrong dan dua rakannya, Buzz Aldrin dan Michael Collins sebenarnya hanya mengelilingi orbit sebelum ia kembali ke bumi. Pada 1979, ketika kali pertama teori konspirasi ke bulan muncul, tinjauan pendapat mendapati enam peratus rakyat AS percaya pendaratan di bulan adalah satu penipuan. Dua puluh tahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada 11 peratus.

Manusia sejagat, kata mereka tertipu dan terdapat bukti-bukti kukuh yang menyokong dakwaan itu. Sejak Presiden AS, John F. Kennedy berikrar manusia akan sampai ke bulan dalam tempoh sedekad pada 1960-an, AS terdesak untuk mengatasi Rusia dalam perlumbaan ke angkasa lepas. Pada musim panas 1969, Moscow mengumumkan akan melancarkan misi ke bulan dalam tempoh sebulan.

Namun, tekonologi pada masa itu masih lagi primitif. TAPAK kasut angkasawan AS di bulan mencetuskan persoalan misteri kerana jejak kenderaan yang dibawa kapal angkasa tidak ada dalam gambar. Sistem komputer yang dihasilkan bagi program Apollo milik AS jauh ketinggalan berbanding teknologi komputer peribadi (PC) pada masa kini. Sistem navigasi Satnav diguna pakai oleh kereta sekarang juga jauh lebih canggih berbanding komputer Apollo yang ditugaskan memandu arah bagi misi ke bulan yang jauhnya 400,000 kilometer dari bumi.

Pada tahun lalu, ketika George W. Bush menjadi Presiden, beliau mengumumkan cita-cita AS untuk kembali ke bulan. Namun, beliau diberitahu bahawa aspek kejuruteraan bagi tujuan itu memerlukan persiapan sekurang-kurangnya 11 tahun. Kini, ketika ulang tahun empat dekad misi bersejarah itu semakin hampir, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik AS mendapat malu apabila menyedari semakin banyak pihak sangsi dengan kejayaan menjejaki ke bulan. Di ibu pejabat NASA di Washington, kumpulan yang tidak mempercayai misi ke bulan itu digelar Penganut Penafian (HB).

Menurut HB, Amstrong sebenarnya menjejakkan kakinya di Area 51, sebuah pangkalan tentera di Nevada yang dirahsiakan daripada orang ramai oleh kerajaan AS. Kawasan itu cukup besar untuk NASA menghasilkan latar belakang permukaan bulan. Agensi persekutuan itu juga mendapat dana AS$40 bilion (RM144 bilion) bagi misi itu, cukup untuk membayar mereka yang terlibat dengannya supaya menutup mulut. Menurut mereka, bagaimanakah seorang angkasawan dapat berjalan dengan matahari di belakang tetapi bahagian hadapannya diterangi cahaya sehingga jelas nampak sut angkasa lepasnya termasuk bendera AS di belakangnya.

Pencahayaan gambar itu begitu sempurna seperti dilakukan di dalam studio tetapi menurut NASA keadaan itu berlaku kerana pantulan cahaya bulan. Menurut kumpulan HB itu, tiada satu bintang pun kelihatan pada setiap gambar manakala ruang angkasa lepas didapati hitam tanpa sebarang sebarang sinaran bintang. Jelas HB, permukaan bulan berdebu menyebabkan tapak kaki angkasawan-angkasawan itu jelas kelihatan dan memang terdapat kesan tapak kaki pada gambar itu. Namun, kenderaan bulan di belakang mereka yang memiliki berat 10 tan tidak meninggalkan sebarang kesan tayar.

Selain itu, bagaimana pula kapal angkasa seperti labah-labah yang mengeluarkan api dari beberapa roket pada strukturnya ketika hendak mendarat langsung tidak mendatangkan sebarang kesan terhadap permukaan di bawahnya. Namun, kenapakah terdapat tapak kaki angkasawan manakala tiada kesan pendaratan kapal angkasa sedangkan graviti tidak ada di bulan. Bendera yang dicacak oleh Armstrong dan Aldrin tidak menunjukkan bayang sedangkan bayang kedua-dua angkasawan itu, kenderaan bulan dan pelbagai jenis batu di permukaan di situ semua menunjuk pada arah yang sama.

Namun, NASA memberi alasan kejadian bayang arah yang berbeza itu adalah kerana gangguan perspektif bulan. Gangguan itu berlaku apabila imej tiga dimensi dipaparkan pada gambar dua dimensi, kata NASA. Beberapa bayang kata NASA, hilang kerana permukaan bulan memiliki sifat pelik di mana cahaya akan dipantulkan dari arah ia terpancar.

Namun, dakwaan bahawa misi ke bulan itu tidak berlaku terus diperkukuhkan oleh kenyataan seorang jurutera yang pernah ditugaskan untuk mereka bentuk roket Apollo, Bill Kaysing. "Apabila saya menonton televisyen, saya dapat rasakan semua adegan tersebut adalah satu penipuan tak ubah seperti roket yang diturunkan dengan menggunakan wayar di dalam studio," kata Bill. Pada zaman itu, katanya, manusia belum memiliki teknologi untuk misi pergi ke bulan dan kebarangkalian misi itu untuk menjadi kenyataan adalah 0.0017 peratus atau dengan kata lain, mustahil.

Seorang angkasawan pada tahun 1960-an, Brian O'Leary berkata: "Saya tidak yakin 100 peratus bahawa terdapat lelaki yang berjalan di bulan." Pandangan Brian yang merupakan penasihat program Apollo selain pernah menjadi angkasawan memberikan satu tamparan hebat. Selain bukti saintifik, terdapat bukti mudah untuk mempertikaikan kesahihan peristiwa bersejarah itu, jelas HB.

Aldrin yang kini berumur 78 tahun dan pernah menjejaki ke bulan pernah berbalah dengan seorang wartawan televisyen yang menuntut dia bersumpah dengan kitab Injil bahawa pendaratan di bulan itu bukannya satu penipuan. Respons yang diberikan oleh Aldrin adalah dia menumbuk wartawan itu di bahagian hidung. - Agensi


noktah==))

Friday, February 13, 2009

Amalkan budaya nasihat

salam....==)


DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.

Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan RasulNya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.

Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12.

Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu. "Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."

Seorang ibu bapa perlu sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.
Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.

Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.


noktah..==))