Monday, April 30, 2012

" Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) "


Assalamualaikum..=))


Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) pada organ dalaman

Penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau nama ringkasnya Lupus merupakan penyakit gangguan pada sistem imun tubuh pesakit yang mana sistem imun itu sendiri menjadi bercelaru dan melawan bahagian tubuh sihat yang sepatutnya dilindungi. SLE adalah gangguan yang kompleks dan punca sebenarnya tidak diketahui.

Antara faktor yang mempengaruhi terjadinya penyakit ini ialah disebabkan oleh kombinasi genetik, faktor hormon estrogen dan alam sekitar seperti terdedah kepada cahaya matahari. Penyakit ini selalunya menyerang pada bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak. Jika SLE hanya menyerang kulit, ia tidak terlalu bahaya tetapi sekiranya menyerang organ dalaman ia menjadi penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian. 

Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) pada kulit
Tiada cara untuk mengenal pasti atau melindungi diri daripada terkena SLE sebaliknya seseorang itu hanya tahu ia mempunyai penyakit SLE apabila sudah terkena. Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit itu, tetapi seiring dengan kemajuan bidang perubatan, terdapat ubat yang boleh mengawal tahap keseriusan SLE, membolehkan pesakit hidup normal tanpa sebarang masalah.Satu ujian saja tidak boleh menentukan sama ada seseorang menghidap SLE sebaliknya ujian makmal perlu dijalankan bagi mengenal pasti auto antibodi tertentu yang sering kali terdapat dalam tubuh pesakit SLE seperti ujian antinuklear antibodi (ANA) yang dijalankan untuk mencari auto antibodi yang bertindak terhadap nukleus sel badan.

Meskipun seseorang itu disahkan menghidap SLE, masih ada harapan baginya untuk menjalani kehidupan normal, tetapi perlu patuh pada nasihat doktor, mengambil ubat secara berdisiplin dan elak terdedah kepada cahaya matahari terik. Penting untuk pesakit SLE mendapatkan bantuan perubatan kerana sekiranya ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan dalam jangka panjang, ia boleh menjadi penyakit kronik dan menyebabkan kematian.

Setiap pesakit SLE menunjukkan simptom agak berbeza, dengan sebahagian menunjukkan tanda lazim seperti bengkak sendi, demam yang tidak diketahui puncanya dan keletihan ekstrim. Ada pesakit yang menunjukkan simptom seperti ruam kulit serius pada wajah berbentuk rama-rama, merentasi hidung dan pipi. Sebahagian lagi pesakit mengalami sakit dada, keguguran rambut luar biasa, anemia, ulser mulut, sakit kepala, pening, kemurungan, kekeliruan dan sawan. 

Hakikatnya, penyakit berkenaan adalah tiga kali lebih biasa berlaku dalam kalangan penduduk Asia serta di Malaysia, dan pesakit termuda yang pernah direkodkan menghidap SLE berusia lapan tahun. Kira-kira 90 peratus daripada mereka yang mendapat SLE adalah kaum wanita manakala selebihnya adalah lelaki dan kanak-kanak. SLE dikalangan wanita biasanya bermula pada usia muda dan dalam tempoh masih subur berikutan hormon estrogen yang tinggi dalam tubuh turut memainkan peranan penting yang menyumbang kepada masalah itu.

Wanita yang mendapat SLE juga tetap boleh mengandung dan mendapat anak, tetapi sekiranya SLE membabitkan organ penting seperti buah pinggang, dinasihatkan supaya tidak mengandung kerana bimbangkan kesihatannya. Dulu ketika ubat moden masih belum ada, pesakit SLE mempunyai jangka hayat yang sangat pendek iaitu sekitar lima tahun. Ini kerana pesakit SLE juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman memandangkan sistem pertahanan badan yang lemah. Selain rawatan doktor pakar, sokongan padu daripada keluarga dan pasangan juga amat penting untuk menguatkan semangat pesakit kerana penyakit ini menyebabkan perasaan menjadi lebih sensitif dan murung.

Simptom SLE
  1. Demam berpanjangan tanpa diketahui punca
  2. Ruam serius pada bahagian muka berbentuk rama-rama
  3. Kuat berpeluh 
  4. Keguguran rambut luar biasa
  5. Bengkak sendi
  6. Keletihan melampau
  7. Ruam pada kulit
  8. Ulser mulut
  9. Anemia
  10. Sakit kepala
  11. Pening
  12. Kemurungan
  13. Kekeliruan
  14. Sawan
Rawatan

  1. Patuh pada nasihat doktor
  2. Disiplin mengambil ubat
  3. Sokongan padu daripada keluarga penting untuk mempercepatkan proses rawatan

Noktah..=))

Friday, April 27, 2012

"Nikah Mutaah..;p"


Assalamualaikum..=))


Mutaah secara bahasa berasal daripada kata tamattu' yang bererti bersenang-senang atau menikmati. Secara istilah, nikah mutaah adalah sebuah pernikahan yang dibatasi dengan perjanjian waktu dan upah tertentu serta mengetepikan fungsi wali dan saksi. Perceraian akan terjadi apabila habis masa kontraknya tanpa dikaitkan dengan hukum perceraian dan warisan. Pada awal Islam, nikah mutaah dihalalkan oleh Rasulullah SAW, tetapi kemudiannya hukum itu dihapuskan dan diharamkan pelaksanaannya hingga hari kiamat.

Al-Imam Al-Muzani rahimahullah berkata: 'Telah sah bahwa nikah mutaah dulu pernah dibolehkan pada awal Islam. Kemudian datang hadis-hadis yang sahih bahawa nikah tersebut tidak dibolehkan lagi. Kesepakatan ulama telah menyatakan keharaman nikah tersebut.' (Syarah Sahih Muslim karya An-Nawawi).  Antara hadis yang jelas menyebut tentang haramnya nikah mutaah ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sungguh! Aku dahulu mengizinkan kalian untuk melakukan mutaah dengan wanita. Ketahuilah sesungguhnya Allah telah mengharamkannya sampai hari kiamat. Barang siapa yang masih melakukannya hendaklah meninggalkannya dan jangan mengambil sesuatu yang telah ia berikan kepadanya (wanita yang dia mutaahi)." - Hadis Riwayat Muslim. Imam Al-Baihaqi menjelaskan, ketika Ja'far bin Muhammad ditanya tentang nikah mutaah, beliau menjawab: "Demi Allah, takkan kutemui seorang pun yang menikah mutaah padahal dia muhsan kecuali aku merejamnya." Bermaksud, pelaku nikah mutaah sama tarafnya dengan penzina.

Hakikatnya, nikah mutaah tiada sebarang kelebihan kecuali menggalakkan manusia menjadikan seks sebagai cara hidup. Mengikut kajian, mereka yang pernah terlibat dalam nikah mutaah berpeluang dijangkiti penyakit kelamin kerana berhubungan seksual dengan ramai pasangan. Bukan saja penyakit, tetapi individu yang terlibat dengan nikah mutaah itu tidak terikat dengan prinsip perkahwinan yang ditentukan oleh syariat Islam. Dalam nikah mutaah yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat hari ini, perceraian tidak boleh berlaku kecuali tamat tarikh kontrak.

Bermaksud, suka atau tidak si isteri perlu bertahan dan meneruskan perkahwinan dan dalam kes sebegini, ada suami yang menghadiahkan isterinya kepada lelaki lain hingga tempoh kontrak tamat. Jelas nikah mutaah menjadikan wanita sebagai objek seks semata-mata. Seperkara yang pasti, tiada pewarisan dalam nikah mutaah. Jika ditakdirkan pernikahan tersebut mempunyai anak maka si anak bukanlah menjadi tanggungjawab dan tanggungan si ayah. Si anak merupakan tanggungjawab dan tanggungan si ibu sepenuhnya. Jelas dan nyata, nikah mutaah menganiayai kaum wanita.

Nikah mutaah khususnya dalam kes cina buta menjadi pembantu kepada dua individu iaitu bekas suami dan bekas isteri, untuk bersama semula selepas bercerai dengan talak tiga. Namun, jika difikirkan secara wajar dan munasabah, individu yang bertindak sebagai cina buta itu ibarat 'pak sanggup' yang menikmati keistimewaan hasil kebodohan bekas suami dan bekas isteri tersebut. Seorang wanita dibayar dengan wang mas kahwin yang juga wajib ada dalam perkahwinan mutaah, tetapi bayarannya lebih murah berbanding jumlah bayaran kepada si cina buta. Dalam masa yang sama, seorang lelaki yang mahu kembali menjadi suami kepada isteri yang pernah diceraikannya dengan senang hati membayar si cina buta. Itu semata-mata untuk membenarkan cina buta itu meniduri bakal isteri yang juga bekas isterinya. Tidakkah sebegitu merupakan amalan yang melanggar norma dan nilai murni Islam yang memandang tinggi serta menghargai kaum wanita.

Perkahwinan bukan satu makmal kajian. Perkahwinan adalah ikatan antara sepasang manusia bernama lelaki dan wanita bagi mewujudkan satu hubungan yang mesra, ceria dan bahagia tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu. Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. "Dalam nikah mutaah, wujudkah kasih sayang? Wujudkah belas kasihan?

Perkahwinan menurut syariat juga mempunyai hikmah dan prinsip yang perlu dipatuhi di samping amanah untuk membahagiakan pasangan melalui pelaksanaan tanggungjawab masing-masing. Perkahwinan bukan mainan.. Ketika suka, anda pegang dan gunakan. Apabila sudah tidak suka, anda buang sebegitu saja!.. Islam tetapkan talak mempunyai tiga sebagai peluang untuk bertindak secara waras dan tidak mengikut perasaan.

kesimpulanya, hidup kita mempunyai pilihan,.. jadi buatlah keputusan dengan bijak..;p

Noktah..=))

Sunday, April 22, 2012

"Mensyukuri Nikmat..;p"

Assalamualaikum..=))


ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”

Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran kita lafazkan untuk memuji-Nya, namun ianya tidak setanding dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita. Dalam soal rezeki, manusia selalunya berasa bimbang tentang nikmat yang belum mereka miliki. Namun sepatutnya manusia perlu risaukan nikmat yang sedia ada dan belum disyukuri. Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi rezeki. Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian. Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka perlu membalas kebaikan orang lain. contohnya, Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka sayangi itu.


Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya dipenuhi rasa syukur. Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita. Bayangkan, jika kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita menghargai apa yang dikurniakan selama ini. Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak mensyukurinya. Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri.

Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga dan mempamerkannya di sana sini. Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur?.. Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat keberkatannya. Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan.

Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala. Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat. Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian. Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian. Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.

 Noktah..=))

Friday, April 20, 2012

"Stevia Rebaudiana Pengganti Gula "

Assalamualaikum..=))


Gula merupakan bahan pemanis utama dalam menghasilkan sesuatu masakan. Rasa kemanisan itu menjadi tarikan kepada masyarakat untuk menikmati masakan seperti kek, kuih muih dan pelbagai minuman. Sebab itu pengambilan gula merupakan perkara biasa dalam kehidupan harian kita. Ada orang seolah-olah tidak boleh hidup tanpa gula walaupun diri diancam pelbagai penyakit.

Antara masalah kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan adalah obesiti, lelah, kencing manis serta penyakit jantung. Secara ringkas, gula adalah karbohidrat yang mudah diserap tubuh dan bertujuan untuk membekalkan sumber tenaga kepada tubuh badan kita. Tetapi tahukah kita terdapat pelbagai sumber lain gula yang boleh kita dapati secara lebih sihat. Antaranya daripada nasi, mi dan ubi-ubian.

Selain itu, kita juga boleh mendapatkan bahan penting ini daripada sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai pokok stevia. Stevia atau nama saintifiknya, stevia rebaudiana merupakan sejenis tumbuhan herba yang mempunyai lebih 10 peratus stevioside pada daunnya dan bahan ini mengandungi 200 hingga 300 kali kemanisan berbanding gula biasa.

Pokok ini mempunyai pelbagai gelaran antaranya sweetleaf dan sugarleaf serta bagi sesetengah pihak, ia juga digelar daun ajaib yang mengeluarkan manisan. Kemanisan daripada pokok ini sedikit lambat untuk dirasa tetapi ia akan kekal lebih lama berbanding gula biasa. Ini kerana kelarutan stevia di dalam air sedikit perlahan. Walaupun begitu, stevia telah mendapat perhatian daripada pengguna bahan rendah karbohidrat bagi pengamal diet dan juga pengguna gula alternatif.

Kajian perubatan yang telah dijalankan menunjukkan keupayaan stevia untuk mengawal penyakit darah tinggi, kencing manis serta hipertensi. Ini kerana stevia adalah bahan pemanis bersifat semulajadi yang memberikan rasa manis tanpa bahan kimia tambahan seperti glukos atau mana-mana komponen gula lain. Antara kegunaan stevia dalam produk masakan adalah pemanis untuk pelbagai jenis minuman, ais krim serta gula-gula.

kesimpulanya, hidup kita mempunyai pelbagai pilihan, Jadi pilihlah dengan bijak untuk kehidupan hari esk..;p

Noktah..=))

Saturday, April 7, 2012

"Meningitis meningokokal"

Assalamualaikum..=))

menjangkiti pada membran otak dan saraf tunjang

Meningitis ialah keradangan pada membran sekeliling otak dan saraf tunjang. Ia terjadi akibat dari jangkitan virus atau bakteria yang berlaku pada selaput tisu membran yang menyelaputi otak, cecair serebrospina dan saraf tunjang, kadang-kadang ia juga dirujuk sebagai meningitis tulang belakang. Tempoh pengeraman bakteria itu, puratanya selama antara dua hingga 10 hari. 


Neisseria meningitidis pula dikenali sebagai meningokokal, ia adalah bakteria yang berpotensi boleh menyebabkan wabak yang lebih besar. Sifatnya sukar diramal kerana kumpulan bakteria yang dominan ini menyebabkan penyakit tersebut berbeza mengikut negara dan rantau serta berubah mengikut masa.

Sebanyak 500,000 kes dengan 50,000 kematian akibat jangkitan meningitis meningokokal dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia. Hampir setiap orang termasuk mereka yang sihat berisiko menghidapinya kerana bakteria ini mudah tersebar melalui udara lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang sesak dan pembunuh secara  senyap ini  boleh membawa maut dalam tempoh 24 hingga 48 jam sekiranya tidak dirawat segera.

Meningitis yang disebabkan virus lazimnya kurang teruk dan boleh pulih tanpa rawatan spesifik. Bagaimanapun meningitis disebabkan bakteria adalah agak serius dan mungkin membawa kepada kerosakan otak, hilang pendengaran, kurang upaya pembelajaran dan boleh membawa kepada kematian. 

Bagaimana ia berjangkit?

Penyakit ini mudah untuk dijangkiti kerana kedua-dua bakteria ini boleh tersebar melalui udara atau sentuhan secara langsung dengan penghidapnya. Meningitis mudah berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti. Melalui salur pernafasan ia memasuki saluran darah dan akan menyebabkan septisemia (keracunan darah) yang teruk dan mengjangkiti otak dan menyebabkan berlakunya meningitis.

Bakteria ini boleh menjangkiti seseorang melalui titisan pernafasan iaitu secara bersin, batuk, berkongsi gelas atau straw minuman, rokok, bercium dari mulut ke mulut (mouth to mouth resuscitation)  dan berasak-asak di tempat awam. Begitupun terdapat juga individu yang dijangkiti bakteria ini tetapi tidak menunjukkan gejala penyakit. Golongan seperti ini dikenali sebagai pembawa bakteria (carrier), mereka ini mungkin menjadi punca jangkitan kepada orang lain. 

Hubungan yang rapat dan berpanjangan dengan orang yang dijangkiti memudahkan lagi penyebaran penyakit tersebut. Golongan yang berisiko mendapat penyakit meningitis meningokokal adalah di kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, penyakit ini juga boleh melibatkan pelbagai peringkat umur serta mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah, berhubung dekat dengan pesakit dan pelancong yang melawat kawasan wabak juga mempunyai risiko tinggi mendapat jangkitan tersebut.

Simptom penyakit

Terdapat banyak simptom atau gejala meningitis meningokokal seperti demam dan menggigil, perubahan mental, loya dan muntah, lebam, ruam, bintik merah (petechiae), sensitif kepada cahaya (fotofobia), sakit kepala yang teruk serta sakit tengkuk (meningismus). Komplikasi meningitis meningokokal boleh menjadi teruk jika pesakit tidak mendapatkan rawatan segera.

Lebih teruk lagi jika risiko serangan secara mengejut berlaku di mana pesakit mungkin mengalami masalah sistem saraf yang berkekalan termasuk hilang pendengaran, buta, mudah lupa, bisu, lumpuh, kurang upaya dalam pembelajaran dan sebagainya.

kesimpulannya,.sama-samalah kita menjaga kesihatan dan segeralah mendapatkan rawatan dan suntikan vaksin bagi membina antibodi yang kuat sekiranya menglami gejala meningitis. 

 Noktah..;p