Monday, April 30, 2012

" Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) "


Assalamualaikum..=))


Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) pada organ dalaman

Penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau nama ringkasnya Lupus merupakan penyakit gangguan pada sistem imun tubuh pesakit yang mana sistem imun itu sendiri menjadi bercelaru dan melawan bahagian tubuh sihat yang sepatutnya dilindungi. SLE adalah gangguan yang kompleks dan punca sebenarnya tidak diketahui.

Antara faktor yang mempengaruhi terjadinya penyakit ini ialah disebabkan oleh kombinasi genetik, faktor hormon estrogen dan alam sekitar seperti terdedah kepada cahaya matahari. Penyakit ini selalunya menyerang pada bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak. Jika SLE hanya menyerang kulit, ia tidak terlalu bahaya tetapi sekiranya menyerang organ dalaman ia menjadi penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian. 

Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) pada kulit
Tiada cara untuk mengenal pasti atau melindungi diri daripada terkena SLE sebaliknya seseorang itu hanya tahu ia mempunyai penyakit SLE apabila sudah terkena. Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit itu, tetapi seiring dengan kemajuan bidang perubatan, terdapat ubat yang boleh mengawal tahap keseriusan SLE, membolehkan pesakit hidup normal tanpa sebarang masalah.Satu ujian saja tidak boleh menentukan sama ada seseorang menghidap SLE sebaliknya ujian makmal perlu dijalankan bagi mengenal pasti auto antibodi tertentu yang sering kali terdapat dalam tubuh pesakit SLE seperti ujian antinuklear antibodi (ANA) yang dijalankan untuk mencari auto antibodi yang bertindak terhadap nukleus sel badan.

Meskipun seseorang itu disahkan menghidap SLE, masih ada harapan baginya untuk menjalani kehidupan normal, tetapi perlu patuh pada nasihat doktor, mengambil ubat secara berdisiplin dan elak terdedah kepada cahaya matahari terik. Penting untuk pesakit SLE mendapatkan bantuan perubatan kerana sekiranya ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan dalam jangka panjang, ia boleh menjadi penyakit kronik dan menyebabkan kematian.

Setiap pesakit SLE menunjukkan simptom agak berbeza, dengan sebahagian menunjukkan tanda lazim seperti bengkak sendi, demam yang tidak diketahui puncanya dan keletihan ekstrim. Ada pesakit yang menunjukkan simptom seperti ruam kulit serius pada wajah berbentuk rama-rama, merentasi hidung dan pipi. Sebahagian lagi pesakit mengalami sakit dada, keguguran rambut luar biasa, anemia, ulser mulut, sakit kepala, pening, kemurungan, kekeliruan dan sawan. 

Hakikatnya, penyakit berkenaan adalah tiga kali lebih biasa berlaku dalam kalangan penduduk Asia serta di Malaysia, dan pesakit termuda yang pernah direkodkan menghidap SLE berusia lapan tahun. Kira-kira 90 peratus daripada mereka yang mendapat SLE adalah kaum wanita manakala selebihnya adalah lelaki dan kanak-kanak. SLE dikalangan wanita biasanya bermula pada usia muda dan dalam tempoh masih subur berikutan hormon estrogen yang tinggi dalam tubuh turut memainkan peranan penting yang menyumbang kepada masalah itu.

Wanita yang mendapat SLE juga tetap boleh mengandung dan mendapat anak, tetapi sekiranya SLE membabitkan organ penting seperti buah pinggang, dinasihatkan supaya tidak mengandung kerana bimbangkan kesihatannya. Dulu ketika ubat moden masih belum ada, pesakit SLE mempunyai jangka hayat yang sangat pendek iaitu sekitar lima tahun. Ini kerana pesakit SLE juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman memandangkan sistem pertahanan badan yang lemah. Selain rawatan doktor pakar, sokongan padu daripada keluarga dan pasangan juga amat penting untuk menguatkan semangat pesakit kerana penyakit ini menyebabkan perasaan menjadi lebih sensitif dan murung.

Simptom SLE
  1. Demam berpanjangan tanpa diketahui punca
  2. Ruam serius pada bahagian muka berbentuk rama-rama
  3. Kuat berpeluh 
  4. Keguguran rambut luar biasa
  5. Bengkak sendi
  6. Keletihan melampau
  7. Ruam pada kulit
  8. Ulser mulut
  9. Anemia
  10. Sakit kepala
  11. Pening
  12. Kemurungan
  13. Kekeliruan
  14. Sawan
Rawatan

  1. Patuh pada nasihat doktor
  2. Disiplin mengambil ubat
  3. Sokongan padu daripada keluarga penting untuk mempercepatkan proses rawatan

Noktah..=))

Friday, April 27, 2012

"Nikah Mutaah..;p"


Assalamualaikum..=))


Mutaah secara bahasa berasal daripada kata tamattu' yang bererti bersenang-senang atau menikmati. Secara istilah, nikah mutaah adalah sebuah pernikahan yang dibatasi dengan perjanjian waktu dan upah tertentu serta mengetepikan fungsi wali dan saksi. Perceraian akan terjadi apabila habis masa kontraknya tanpa dikaitkan dengan hukum perceraian dan warisan. Pada awal Islam, nikah mutaah dihalalkan oleh Rasulullah SAW, tetapi kemudiannya hukum itu dihapuskan dan diharamkan pelaksanaannya hingga hari kiamat.

Al-Imam Al-Muzani rahimahullah berkata: 'Telah sah bahwa nikah mutaah dulu pernah dibolehkan pada awal Islam. Kemudian datang hadis-hadis yang sahih bahawa nikah tersebut tidak dibolehkan lagi. Kesepakatan ulama telah menyatakan keharaman nikah tersebut.' (Syarah Sahih Muslim karya An-Nawawi).  Antara hadis yang jelas menyebut tentang haramnya nikah mutaah ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sungguh! Aku dahulu mengizinkan kalian untuk melakukan mutaah dengan wanita. Ketahuilah sesungguhnya Allah telah mengharamkannya sampai hari kiamat. Barang siapa yang masih melakukannya hendaklah meninggalkannya dan jangan mengambil sesuatu yang telah ia berikan kepadanya (wanita yang dia mutaahi)." - Hadis Riwayat Muslim. Imam Al-Baihaqi menjelaskan, ketika Ja'far bin Muhammad ditanya tentang nikah mutaah, beliau menjawab: "Demi Allah, takkan kutemui seorang pun yang menikah mutaah padahal dia muhsan kecuali aku merejamnya." Bermaksud, pelaku nikah mutaah sama tarafnya dengan penzina.

Hakikatnya, nikah mutaah tiada sebarang kelebihan kecuali menggalakkan manusia menjadikan seks sebagai cara hidup. Mengikut kajian, mereka yang pernah terlibat dalam nikah mutaah berpeluang dijangkiti penyakit kelamin kerana berhubungan seksual dengan ramai pasangan. Bukan saja penyakit, tetapi individu yang terlibat dengan nikah mutaah itu tidak terikat dengan prinsip perkahwinan yang ditentukan oleh syariat Islam. Dalam nikah mutaah yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat hari ini, perceraian tidak boleh berlaku kecuali tamat tarikh kontrak.

Bermaksud, suka atau tidak si isteri perlu bertahan dan meneruskan perkahwinan dan dalam kes sebegini, ada suami yang menghadiahkan isterinya kepada lelaki lain hingga tempoh kontrak tamat. Jelas nikah mutaah menjadikan wanita sebagai objek seks semata-mata. Seperkara yang pasti, tiada pewarisan dalam nikah mutaah. Jika ditakdirkan pernikahan tersebut mempunyai anak maka si anak bukanlah menjadi tanggungjawab dan tanggungan si ayah. Si anak merupakan tanggungjawab dan tanggungan si ibu sepenuhnya. Jelas dan nyata, nikah mutaah menganiayai kaum wanita.

Nikah mutaah khususnya dalam kes cina buta menjadi pembantu kepada dua individu iaitu bekas suami dan bekas isteri, untuk bersama semula selepas bercerai dengan talak tiga. Namun, jika difikirkan secara wajar dan munasabah, individu yang bertindak sebagai cina buta itu ibarat 'pak sanggup' yang menikmati keistimewaan hasil kebodohan bekas suami dan bekas isteri tersebut. Seorang wanita dibayar dengan wang mas kahwin yang juga wajib ada dalam perkahwinan mutaah, tetapi bayarannya lebih murah berbanding jumlah bayaran kepada si cina buta. Dalam masa yang sama, seorang lelaki yang mahu kembali menjadi suami kepada isteri yang pernah diceraikannya dengan senang hati membayar si cina buta. Itu semata-mata untuk membenarkan cina buta itu meniduri bakal isteri yang juga bekas isterinya. Tidakkah sebegitu merupakan amalan yang melanggar norma dan nilai murni Islam yang memandang tinggi serta menghargai kaum wanita.

Perkahwinan bukan satu makmal kajian. Perkahwinan adalah ikatan antara sepasang manusia bernama lelaki dan wanita bagi mewujudkan satu hubungan yang mesra, ceria dan bahagia tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu. Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. "Dalam nikah mutaah, wujudkah kasih sayang? Wujudkah belas kasihan?

Perkahwinan menurut syariat juga mempunyai hikmah dan prinsip yang perlu dipatuhi di samping amanah untuk membahagiakan pasangan melalui pelaksanaan tanggungjawab masing-masing. Perkahwinan bukan mainan.. Ketika suka, anda pegang dan gunakan. Apabila sudah tidak suka, anda buang sebegitu saja!.. Islam tetapkan talak mempunyai tiga sebagai peluang untuk bertindak secara waras dan tidak mengikut perasaan.

kesimpulanya, hidup kita mempunyai pilihan,.. jadi buatlah keputusan dengan bijak..;p

Noktah..=))

Sunday, April 22, 2012

"Mensyukuri Nikmat..;p"

Assalamualaikum..=))


ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”

Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran kita lafazkan untuk memuji-Nya, namun ianya tidak setanding dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita. Dalam soal rezeki, manusia selalunya berasa bimbang tentang nikmat yang belum mereka miliki. Namun sepatutnya manusia perlu risaukan nikmat yang sedia ada dan belum disyukuri. Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi rezeki. Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian. Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka perlu membalas kebaikan orang lain. contohnya, Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka sayangi itu.


Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya dipenuhi rasa syukur. Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita. Bayangkan, jika kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita menghargai apa yang dikurniakan selama ini. Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak mensyukurinya. Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri.

Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga dan mempamerkannya di sana sini. Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur?.. Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat keberkatannya. Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan.

Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala. Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat. Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian. Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian. Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.

 Noktah..=))

Friday, April 20, 2012

"Stevia Rebaudiana Pengganti Gula "

Assalamualaikum..=))


Gula merupakan bahan pemanis utama dalam menghasilkan sesuatu masakan. Rasa kemanisan itu menjadi tarikan kepada masyarakat untuk menikmati masakan seperti kek, kuih muih dan pelbagai minuman. Sebab itu pengambilan gula merupakan perkara biasa dalam kehidupan harian kita. Ada orang seolah-olah tidak boleh hidup tanpa gula walaupun diri diancam pelbagai penyakit.

Antara masalah kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan adalah obesiti, lelah, kencing manis serta penyakit jantung. Secara ringkas, gula adalah karbohidrat yang mudah diserap tubuh dan bertujuan untuk membekalkan sumber tenaga kepada tubuh badan kita. Tetapi tahukah kita terdapat pelbagai sumber lain gula yang boleh kita dapati secara lebih sihat. Antaranya daripada nasi, mi dan ubi-ubian.

Selain itu, kita juga boleh mendapatkan bahan penting ini daripada sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai pokok stevia. Stevia atau nama saintifiknya, stevia rebaudiana merupakan sejenis tumbuhan herba yang mempunyai lebih 10 peratus stevioside pada daunnya dan bahan ini mengandungi 200 hingga 300 kali kemanisan berbanding gula biasa.

Pokok ini mempunyai pelbagai gelaran antaranya sweetleaf dan sugarleaf serta bagi sesetengah pihak, ia juga digelar daun ajaib yang mengeluarkan manisan. Kemanisan daripada pokok ini sedikit lambat untuk dirasa tetapi ia akan kekal lebih lama berbanding gula biasa. Ini kerana kelarutan stevia di dalam air sedikit perlahan. Walaupun begitu, stevia telah mendapat perhatian daripada pengguna bahan rendah karbohidrat bagi pengamal diet dan juga pengguna gula alternatif.

Kajian perubatan yang telah dijalankan menunjukkan keupayaan stevia untuk mengawal penyakit darah tinggi, kencing manis serta hipertensi. Ini kerana stevia adalah bahan pemanis bersifat semulajadi yang memberikan rasa manis tanpa bahan kimia tambahan seperti glukos atau mana-mana komponen gula lain. Antara kegunaan stevia dalam produk masakan adalah pemanis untuk pelbagai jenis minuman, ais krim serta gula-gula.

kesimpulanya, hidup kita mempunyai pelbagai pilihan, Jadi pilihlah dengan bijak untuk kehidupan hari esk..;p

Noktah..=))

Saturday, April 7, 2012

"Meningitis meningokokal"

Assalamualaikum..=))

menjangkiti pada membran otak dan saraf tunjang

Meningitis ialah keradangan pada membran sekeliling otak dan saraf tunjang. Ia terjadi akibat dari jangkitan virus atau bakteria yang berlaku pada selaput tisu membran yang menyelaputi otak, cecair serebrospina dan saraf tunjang, kadang-kadang ia juga dirujuk sebagai meningitis tulang belakang. Tempoh pengeraman bakteria itu, puratanya selama antara dua hingga 10 hari. 


Neisseria meningitidis pula dikenali sebagai meningokokal, ia adalah bakteria yang berpotensi boleh menyebabkan wabak yang lebih besar. Sifatnya sukar diramal kerana kumpulan bakteria yang dominan ini menyebabkan penyakit tersebut berbeza mengikut negara dan rantau serta berubah mengikut masa.

Sebanyak 500,000 kes dengan 50,000 kematian akibat jangkitan meningitis meningokokal dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia. Hampir setiap orang termasuk mereka yang sihat berisiko menghidapinya kerana bakteria ini mudah tersebar melalui udara lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang sesak dan pembunuh secara  senyap ini  boleh membawa maut dalam tempoh 24 hingga 48 jam sekiranya tidak dirawat segera.

Meningitis yang disebabkan virus lazimnya kurang teruk dan boleh pulih tanpa rawatan spesifik. Bagaimanapun meningitis disebabkan bakteria adalah agak serius dan mungkin membawa kepada kerosakan otak, hilang pendengaran, kurang upaya pembelajaran dan boleh membawa kepada kematian. 

Bagaimana ia berjangkit?

Penyakit ini mudah untuk dijangkiti kerana kedua-dua bakteria ini boleh tersebar melalui udara atau sentuhan secara langsung dengan penghidapnya. Meningitis mudah berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti. Melalui salur pernafasan ia memasuki saluran darah dan akan menyebabkan septisemia (keracunan darah) yang teruk dan mengjangkiti otak dan menyebabkan berlakunya meningitis.

Bakteria ini boleh menjangkiti seseorang melalui titisan pernafasan iaitu secara bersin, batuk, berkongsi gelas atau straw minuman, rokok, bercium dari mulut ke mulut (mouth to mouth resuscitation)  dan berasak-asak di tempat awam. Begitupun terdapat juga individu yang dijangkiti bakteria ini tetapi tidak menunjukkan gejala penyakit. Golongan seperti ini dikenali sebagai pembawa bakteria (carrier), mereka ini mungkin menjadi punca jangkitan kepada orang lain. 

Hubungan yang rapat dan berpanjangan dengan orang yang dijangkiti memudahkan lagi penyebaran penyakit tersebut. Golongan yang berisiko mendapat penyakit meningitis meningokokal adalah di kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, penyakit ini juga boleh melibatkan pelbagai peringkat umur serta mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah, berhubung dekat dengan pesakit dan pelancong yang melawat kawasan wabak juga mempunyai risiko tinggi mendapat jangkitan tersebut.

Simptom penyakit

Terdapat banyak simptom atau gejala meningitis meningokokal seperti demam dan menggigil, perubahan mental, loya dan muntah, lebam, ruam, bintik merah (petechiae), sensitif kepada cahaya (fotofobia), sakit kepala yang teruk serta sakit tengkuk (meningismus). Komplikasi meningitis meningokokal boleh menjadi teruk jika pesakit tidak mendapatkan rawatan segera.

Lebih teruk lagi jika risiko serangan secara mengejut berlaku di mana pesakit mungkin mengalami masalah sistem saraf yang berkekalan termasuk hilang pendengaran, buta, mudah lupa, bisu, lumpuh, kurang upaya dalam pembelajaran dan sebagainya.

kesimpulannya,.sama-samalah kita menjaga kesihatan dan segeralah mendapatkan rawatan dan suntikan vaksin bagi membina antibodi yang kuat sekiranya menglami gejala meningitis. 

 Noktah..;p

Saturday, March 31, 2012

"Pohon Taubat..;p"

Assalamualaikum..=))

‎"Orang muslim yang mendoakan orang lain secara diam-diam, akan disambut oleh malaikat dengan berkata: Semoga untukmu juga.. (HR. Muslim)

Rasa Bersalah Itu Anugerah Taubat

Daripada benih ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ itu, Allah mahukan pohon taubat dari kita. Dengan lemah lembut Allah berfirman, maksudnya:

Wahai Anak Adam!
Selagimana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!
Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!
Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.

Allah berjanji mengampunkan dosa-dosa melalui ayat 110 Surah al-Nisa’, maksudnya: Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah berjanji mengabulkan doa melalui ayat 60, Surah Ghafir, maksudnya: Allah telah berkata; Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doamu.

Syarat-syarat Taubat Diterima di Sisi Allah

1. Menyesal bersungguh-sungguh terhadap dosa yang pernah dilakukan dan berazam untuk tidak kembali lagi melakukan dosa tersebut.

2. Memohon ampun walau sebesar mana dosa yang pernah dilakukan dengan penuh harapan agar Allah memaafkan dan  berdoa dengan sepenuh hati.

3. Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin Allah akan memperkenankannya. Sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan tidak bersungguh.

4. Tauhid yang benar. Maksudnya akidah kita betul dengan mengesakan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah.

Taubat yang bersungguh dan doa yang penuh mengharap itu akan menyegarkan jiwamu semula. Pedulikan apa kata orang padamu. Apa yang penting Allah sangat luas rahmat dan keampunanNya. Ingatilah, saat sakaratul maut menjemput kita, Allah satu-satunya zat yang dapat menyelamatkan kita. Walau sejuta pujian atau sejuta kejian manusia terhadap kita sedikit pun tidak dapat membantu kita saat penuh debaran itu. Pandanglah hari ini dan hari yang akan datang kerana Allah sudi mengampunkan dosa-dosamu. Selaklah lembaran ‘Surat Cinta Ilahi’ yakni al-Quran setiap hari. Di sana, akan kau temui siraman demi siraman kasih Allah padamu yang tidak bertepi. Akhir kata, Allah yang Maha Mengetahui tahu bahawa akan ada saat-saat manusia dihambat rasa putus asa dan lemah semangat. Justeru awal-awal lagi Allah rakamkan dalam al-Quran ayat 53 hingga ayat 54 Surah al-Zumar:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ayat 53) Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi. (Ayat 54).  Serta turutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (yakni al-Quran sebagai panduan hidup), sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedangkan kamu tidak menyedarinya. (Ayat 55).

Noktah..=))

Tuesday, March 27, 2012

"UhibbukaFillah ~Muhammad Bin Abdullah"

Assalamualaikum..=))


Diriwayatkan bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan pada sesudah waktu asar yaitu pada hari Jumaat di padang Arafah pada musim haji penghabisan [Wada']. Pada masa itu Rasulullah s.a.w. berada di Arafah di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah s.a.w.tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersandar pada unta beliau, dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibril a.s. dan berkata:

"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan demikian juga apa yang terlarang olehnya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu." Setelah Malaikat Jibril a.s. pergi maka Rasulullah s.a.w. pun berangkat ke Mekah dan terus pergi ke Madinah. Setelah Rasulullah s.a.w. mengumpulkan para sahabat beliau, maka Rasulullah s.a.w. pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril a.s.. Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata: "Agama kita telah sempurna. Agama kila telah sempurna." 

Apabila Abu Bakar ra. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar ra. menangis dari pagi hingga ke malam. Kisah tentang Abu Bakar ra. menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di depan rumah Abu Bakar ra. dan mereka berkata: "Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah sempuma." Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar ra. pun berkata, "Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempuma maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah s.a.w.. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri nabi menjadi janda."


Setelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar ra. maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar ra., lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus memberitahu Rasulullah s.a.w. tentang apa yang mereka lihat itu. Berkata salah seorang dari para sahabat, "Ya Rasulullah s.a.w., kami baru kembali dari rumah Abu Bakar ra. dan kami dapati banyak orang menangis dengan suara yang kuat di depan rumah beliau." Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah s.a.w. dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Abu Bakar ra.. Setelah Rasulullah s.a.w. sampai di rumah Abu Bakar ra. maka Rasulullah s.a.w. melihat kesemua mereka yang menangis dan bertanya, "Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?." Kemudian Ali ra. berkata, "Ya Rasulullah s.a.w., Abu Bakar ra. mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahwa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?." Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: "Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar ra. adalah benar, dan sesungguhnya waktu untuk aku meninggalkan kamu semua telah dekat".


Setelah Abu Bakar ra. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan. Sementara 'Ukasyah ra. berkata kepada Rasulullah s.a.w., 'Ya Rasulullah, waktu itu, anda pukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu apakah anda sengaja memukul saya atau hendak memukul unta baginda." Rasulullah s.a.w. berkata: "Wahai 'Ukasyah, Rasulullah s.a.w. sengaja memukul kamu." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal ra., "Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fathimah dan ambilkan tongkatku ke mari." Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fathimah sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata, "Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk dibalas [diqishash]."


Setelah Bilal sampai di rumah Fathimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fathimah ra. menyahut dengan berkata: "Siapakah di pintu?." Lalu Bilal ra. berkata: "Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk mengambil tongkat beliau. "Kemudian Fathimah ra. berkata: "Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya." Berkata Bilal ra.: "Wahai Fathimah, Rasulullah s.a.w. telah menyediakan dirinya untuk diqishash." Bertanya Fathimah ra. lagi: "Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah s.a.w.?" Bilal ra. tidak menjawab pertanyaan Fathimah ra., Setelah Fathimah ra. memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah s.a.w. Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat tersebut dari Bilal ra. maka beliau pun menyerahkan kepada 'Ukasyah.


Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar ra. dan Umar ra. tampil ke depan sambil berkata: "Wahai 'Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah s.a.w. tetapi kamu qishashlah kami berdua." Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kata-kata Abu Bakar ra. dan Umar ra. maka dengan segera beliau berkata: "Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua." Kemudian Ali ra. bangun, lalu berkata, "Wahai 'Ukasyah! Aku adalah orang yang senantiasa berada di samping Rasulullah s.a.w. oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqishash Rasulullah s.a.w." Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, "Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu." Setelah itu Hasan dan Husin bangun dengan berkata: "Wahai 'Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahwa kami ini adalah cucu Rasulullah s.a.w., kalau kamu menqishash kami sama dengan kamu menqishash Rasulullah s.a.w." Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah s.a.w. pun berkata, "Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua." Berkata Rasulullah s.a.w. "Wahai 'Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul."


Kemudian 'Ukasyah berkata: "Ya Rasulullah s.a.w., anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju." Maka Rasulullah s.a.w. pun membuka baju. Setelah Rasulullah s.a.w. membuka baju maka menangislah semua yang hadir. Setelah 'Ukasyah melihat tubuh Rasulullah s.a.w. maka ia pun mencium beliau dan berkata, "Saya tebus anda dengan jiwa saya ya Rasulullah s.a.w., siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan begini adalah sebab saya ingin menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. dengan badan saya. Dan Allah s.w.t. menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu" Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, "Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya." Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, "Wahai 'Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah s.a.w. di dalam syurga."


Apabila ajal Rasulullah s.a.w. makin dekat maka beliau pun memanggil para sahabat ke rumah Aisyah ra. dan beliau berkata: "Selamat datang kamu semua semoga Allah s.w.t. mengasihi kamu semua, saya berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan mentaati segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara saya dengan kamu semua hampir dekat, dan dekat pula saat kembalinya seorang hamba kepada Allah s.w.t. dan menempatkannya di syurga. Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kamu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain Yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku di atas balai tempat tidurku dalam rumahku ini. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar meninggalkan aku. Pertama yang akan mensolatkan aku ialah Allah s.w.t., kemudian yang akan mensolat aku ialah Jibril a.s., kemudian diikuti oleh malaikat Israfil, malaikat Mikail, dan yang akhir sekali malaikat lzrail berserta dengan semua para pembantunya. Setelah itu baru kamu semua masuk bergantian secara berkelompok bersolat ke atasku."


Setelah para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat hati itu maka mereka pun menangis dengan nada yang keras dan berkata, "Ya Rasulullah s.a.w. anda adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila anda sudah tiada nanti kepada siapakah akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, "Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pelajaran dari mati."

Setelah Rasulullah s.a.w. berkata demikian, maka sakit Rasulullah s.a.w. bermula. Dalam bulan safar Rasulullah s.a.w. sakit selama 18 hari dan sering diziaiahi oleh para sahabat. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w. diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit Rasulullah s.a.w. bertambah berat, setelah Bilal ra. menyelesaikan azan subuh, maka Bilal ra. pun pergi ke rumah Rasulullah s.a.w.. Sesampainya Bilal ra. di rumah Rasulullah s.a.w. maka Bilal ra. pun memberi salam, "Assalaarnualaika ya Rasulullah." Lalu dijawab oleh Fathimah ra., "Rasulullah s.a.w. masih sibuk dengan urusan beliau." Setelah Bilal ra. mendengar penjelasan dari Fathimah ra.

Maka Bilal ra. pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fathimah ra. itu. Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah s.a.w.dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini salam Bilal ra. telah di dengar oleh Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. berkata, "Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku ini semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat subuh berjemaah dengan mereka yang hadir." Setelah mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w.maka Bilal ra. pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di atas kepala dengan berkata: "Aduh musibah."

Setelah Bilal ra. sarnpai di masjid maka Bilal ra. pun memberitahu Abu Bakar tentang apa yang telah Rasulullah s.a.w. katakan kepadanya. Abu Bakar ra. tidak dapat menahan dirinya apabila ia melihat mimbar kosong maka dengan suara yang keras Abu Bakar ra. menangis sehingga ia jatuh pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah tangisan sahabat dalam masjid, sehingga Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Fathimah ra.; "Wahai Fathimah apakah yang telah berlaku?." Maka Fathimah ra. pun berkata: "Kekecohan kaum muslimin, sebab anda tidak pergi ke masjid." Kemudian Rasulullah s.a.w. memanggil Ali ra. dan Fadhl bin Abas ra., lalu Rasulullah s.a.w. bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah s.a.w. sampai di masjid maka Rasulullah s.a.w. pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah.

Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah s.a.w. pun berkata, "Wahai kaum muslimin, kamu semua senantiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah s.w.t., oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan mengerjakan segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia." Setelah berkata demikian maka Rasulullah s.a.w. pun pulang ke rumah beliau. Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepada malaikat lzrail a.s., "Wahai lzrail, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut ruhnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masuklah kamu ke rumahnya dan kalau ia tidak mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali padaku."

Setelah malaikat lzrail mendapat perintah dari Allah s.w.t. maka malaikal lzrail pun turun dengan menyerupai orang Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di depan rumahRasulullah s.a.w. maka ia pun memberi salam, "Assalaamu alaikum yaa ahla baitin nubuwwati wa ma danir risaalati a adkhulu?" (Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu semua sekalian, wahai penghuni rumah nabi dan sumber risaalah, bolehkan saya masuk?) Apabila Fathimah mendengar orang memberi salam maka ia-pun berkata; "Wahai hamba AllahRasulullah s.a.w. sedang sibuk sebab sakitnya yang semakin berat." Kemudian malaikat lzrail berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali ini seruan malaikat itu telah didengar oleh Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Fathimah ra., "Wahai Fathimah, siapakah di depan pintu itu." 

Maka Fathimah ra. pun berkata, "Ya Rasulullah, ada seorang Arab badwi memanggil mu, dan aku telah katakan kepadanya bahawa anda sedang sibuk sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga terasa menggigil badan saya." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata; "Wahai Fathimah, tahukah kamu siapakah orang itu?." Jawab Fathimah, "Tidak ayah." "Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan kubur." Fathimah ra. tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan berakhir, dia menangis sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah s.a.w. 

Mendengar tangisan Falimah ra. maka beliau pun berkata: "Janganlah kamu menangis wahai Fathimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku." Kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengizinkan malaikat lzrail masuk. Maka malaikat lzrail pun masuk dengan mengucap, "Assalamuaalaikum ya Rasulullah." Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: "Wa alaikas saalamu, wahai lzrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut ruhku?" Maka berkata malaikat lzrail: "Kedatangan saya adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut ruhmu, itupun kalau engkau izinkan, kalau engkau tidak izinkan maka aku akan kembali." Berkata Rasulullah s.a.w., "Wahai lzrail, di manakah kamu tinggalkan Jibril?" Berkata lzrail: "Saya tinggalkan Jibril di langit dunia, para malaikat sedang memuliakan dia." Tidak beberapa lama kemudian Jibril a.s. pun turun dan duduk di dekat kepala Rasulullah s.a.w..

Apabila Rasulullah s.a.w. melihat kedatangan Jibril a.s. maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai Jibril, tahukah kamu bahawa ajalku sudah dekat" Berkata Jibril a.s., "Ya aku tahu" Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, "Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku disisi Allah s.w.t" Berkata Jibril a.s., "Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu dilangit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu." Berkata Rasulullah s.a.w.: "Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti." Berkata Jibril a.s., "Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud,"Sesungguhnya aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga."

Berkata Rasulullah s.a.w.: "Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: "Wahai lzrail, mendekatlah kamu kepadaku." Setelah itu Malaikat lzrail pun memulai tugasnya, apabila ruh beliau sampai pada pusat, maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati." Jibrila.s. mengalihkan pandangan dari Rasulullah s.a.w. apabila mendengar kata-kata beliau itu. Melihatkan telatah Jibril a.s. itu maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: "Wahai Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?" Jibril a.s. berkata: "Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?" Anas bin Malik ra. berkata: "Apabila ruh Rasulullah s.a.w. telah sampai di dada beliau telah bersabda,"Aku wasiatkan kepada kamu agar kamu semua menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu."

Ali ra. berkata: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua kali, dan saya meletakkan telinga, saya dengan Rasulullah s.a.w. berkata: "Umatku, umatku.". 

Noktah..=))