Sunday, January 15, 2012

"Batu karang "

Assalamualaikum.==))


Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan-akan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini merangkumi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh. Pembentukan batu biasanya bermula di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit berasa sakit yang teramat sangat. penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita.

Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi, bagaimanapun warga emas dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah. Batu karang terbentuk dalam buah pinggang. Di buah pinggang inilah berlakunya proses penapisan darah bagi menyingkirkan bahan yang tidak diperlukan badan melalui air kencing.

Daripada buah pinggang, air kencing dipindahkan ke pundi kencing melalui saluran ureter. Di sinilah air kencing disimpan sehingga dibuang daripada badan. Batu karang terbentuk apabila air kencing mengandungi banyak bahan, terutama kalsium, oksalat, asid urik dan sistein atau kekurangan bahan yang bertugas membantu mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan magnesium.

Kehadiran batu karang boleh menjadi petanda buah pinggang mula mengalami kerosakan. Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera supaya kerosakan buah pinggang dapat diperlahankan dan disusuli dengan penjagaan pemakanan serta mula bersenam bagi mengelakkan pembentukan berterusan batu karang. Biasanya batu karang menyebabkan rasa yang sangat sakit pada bahagian tepi perut. Bagaimanapun, ia tidak berlaku pada semua orang. Ada juga pesakit batu karang yang tidak mengalami tanda dan masalah tetapi penyakit mereka dikesan secara tidak sengaja terutama apabila menjalani pemeriksaan kesihatan bagi tujuan lain.

Kajian sebelum ini menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah, antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria. Banyak punca boleh menyebabkan pembentukan batu karang tetapi faktor utamanya ialah tabiat pemakanan dan kurang minum air. Batu karang biasanya terbentuk apabila air kencing menjadi terlalu pekat.

Ini menyebabkan mineral dalam air kencing termendak dan mula membentuk kristal. Lama-kelamaan, kristal ini bergabung dan membentuk sebutir batu yang keras. Biasanya kes seperti ini memerlukan individu minum tiga liter air sehari. sesetengah orang biasanya mengalami penyakit batu karang hanya sekali, kemudian pulih dan penyakit batu karang itu tidak berulang lagi. Bagaimanapun dalam banyak kes, penyakit batu karang adalah penyakit berpanjangan seumur hidup.

Penyakit batu karang biasanya jarang menimbulkan masalah ketika ia mula terjadi. Tetapi bila batu karang itu beralih atau bergerak dalam ginjal atau dalam saluran kencing, akan timbul rasa sakit yang amat sangat dan pendarahan kebiasaannya boleh berlaku sehingga batu itu dikeluarkan. Ada juga kes yang mana batu karang tersekat dan menyebabkan kesakitan dan akan membawa bahaya apabila kuman mula merebak. Jika ini berlaku, biasanya tanda-tanda seperti pedih ketika buang air kecil, rasa loya dan air kencing berbau busuk. 

Mengenai rawatan pula, ada secara moden mahupun tradisional.Namun, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan segera kerana jika lewat boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, malah kematian seandainya ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah...

Noktah..==))

"lipoma"

Assalamualaikum..==))

contoh bentuk lipoma di kepala

lemak yang dikeluarkan melalui pembedahan
Benjolan kulit yang muncul di badan, apatah lagi dapat dilihat dengan mata kasar, tentunya membuatkan seseorang individu berasa rendah diri dan tidak yakin. Lebih menakutkan jika benjolan ini muncul di tempat seperti tangan, kaki, bahu dan leher. Sesetengah pihak berpendapat benjolan ini bahaya dan lebih kepada risiko kanser, namun tidak kurang juga ada yang mengatakan ia tidak bahaya.

lipoma adalah sejenis ketumbuhan berasal daripada sel lemak dipanggil lipid yang terbentuk oleh tisu adipose yang lazimnya berlaku di antara kulit dan lapisan otot. Ia tidak berbahaya dan sangat biasa berlaku, yang mana satu hingga dua peratus orang dewasa di negara ini dilaporkan mengalaminya.

Lipoma dikategorikan sebagai ketumbuhan benigna (tumor bukan barah), tidak merebak atau berbahaya selagi ia tidak berubah menjadi kanser. Lipoma jarang memudaratkan dan kemungkinan untuk menjadi kanser hanya 0.05 peratus. Ada perbezaan pendapat mengatakan lipoma punya kapasiti kecil untuk menjadi barah, tetapi sangat jarang, manakala pendapat kedua mengatakan semua lipoma bukan barah. Lipoma juga biasanya senang dikesan kerana kebanyakannya berada di bawah kulit dan boleh timbul pada bahagian tubuh, tangan dan kaki serta leher.

Ia juga boleh berlaku pada kulit kepala, dahi atau di mana saja asalkan ada lapisan tisu adipose (tisu lemak). lipoma tidak perlu dibuang dan bergantung kepada keselesaan pesakit. Namun, jika rimas dengan benjolan yang mengganggu penampilan dan bimbang ia melarat walaupun ia bersifat bukan barah, ia boleh dibuang dengan mudah. Ketumbuhan lemak boleh berlaku pada semua orang dewasa dan ia jarang terjadi pada kanak-kanak. Sebagaimana ketumbuhan lain, semua orang boleh mendapat lipoma, tetapi orang gemuk mempunyai risiko lebih tinggi. Begitupun, ada juga pesakit di kalangan orang kurus dan ia juga boleh diwarisi.

Ketumbuhan ini juga unik kerana ia lembut, boleh bergerak (apabila ditekan), tidak melekat pada kulit, tiada simptom dan mengambil masa lama untuk terbentuk. Pada amnya, lipoma ada dua bentuk, iaitu bulat dan leper dan saiznya sama seperti duit syiling 20 sen dan 50 sen. Lipoma secara teknikalnya boleh berlaku pada mana-mana kawasan berlemak, termasuk kawasan sekeliling organ seperti buah pinggang dan usus.

Lipoma di bawah kulit tidak menimbulkan masalah, tetapi yang tumbuh di tempat tidak sepatutnya seperti dalam usus, tulang belakang dan hati boleh membawa masalah kerana ia menyebabkannya tersumbat, ulser dan pendarahan. Ada juga penyakit seperti Sindrom Dercum dan Sindrom Madelung yang dikategorikan sebagai jarang berlaku. Ia boleh dikesan apabila ada banyak tompokan lipoma di serata badan yang biasanya dialami orang minum arak, warga tua dan sering dikaitkan dengan obesiti (tidak semestinya orang gemuk mengalami lipoma tapi boleh mengalami Dercum).

Mereka juga sering mengadu mengalami gejala tidak khusus seperti tidak sihat, pening kepala, sakit perut, mabuk dan sakit sendi yang tiada kena mengena dengan tompokan lemak itu. Biasanya pesakit ditumbuhi bukan satu atau dua benjolan lipoma tetapi 20 hingga 30 benjolan. Namun situasi ini jarang berlaku berbanding lipoma biasa yang sering tumbuh di bawah lapisan kulit. Penyakit ini juga lebih tertumpu kepada lelaki. Disebabkan ia ketumbuhan biasa di bawah kulit, ramai orang tidak mengambil tahu atau kisah mengenainya.

Paling penting jika didapati benjolan atau rasa kurang selesa, segera berjumpa doktor kerana ia mungkin bukan ketumbuhan lemak, sebaliknya petanda penyakit lain. Ketumbuhan lemak mudah dikenal pasti dan boleh ditentukan melalui pemeriksaan fizikal saja. Bagi mengenal pasti benjolan itu lipoma atau bukan, pesakit perlu menjalani diagnosis klinikal. Ujian radiologi seperti imbasan ultrasound, imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan, pengimbas Imej Magnetik (MRI), dilakukan hanya jika lipoma itu menunjukkan tanda luar biasa.

Kes dianggap berbahaya adalah lipoma yang ketika kecilnya tiada sifat radiologikal mencukupi yang menunjukkan ia akan berubah menjadi barah seperti liposarcoma, misalnya yang biasanya mengganggu tempat lain seperti belakang usus dalam badan (sekitar retroperitonial).

Secara umumnya, selagi ia tidak mendatangkan kesakitan atau masalah kesihatan, ketumbuhan lemak ini tidak perlu dibuang. Namun demikian, keputusan ini tertakluk kepada pilihan setiap individu kerana ramai lebih gemar ketumbuhan lemak dibuang atas faktor kosmetik. Biasanya ia dinasihatkan dibuang jika ukuran garis pusatnya (saiz) melebihi lima sentimeter. Pembedahan pembuangan ketumbuhan lemak boleh dianggap pembedahan kecil kerana ia membabitkan kaedah bius setempat. Maknanya, pesakit boleh menyaksikan doktor menjalankan pembedahan pembuangan ketulan lemak itu.

walaupun tidak berbahaya, lebih baik dibuang kerana jika dibiarkan ia terus membesar. Ketumbuhan ini mungkin boleh menyebabkan masalah lain. Tindakan awal boleh mengurangkan risiko pembedahan jika dilakukan pada peringkat lewat.


Pembedahan lipoma hanya perlu jika:


  • Mula sakit dan rasa lembut bila disentuh


  • Terkena jangkitan atau radang berulang kali


  • Menghasilkan bau dan lelehan kurang menyenangkan


  • Mengganggu pergerakan atau fungsi


  • Saiz bertambah besar


  • Menjejaskan daripada segi kosmetik, seperti ketara di tangan dan dahi

    Tisu adipose


  • Tisu atau lemak dalam badan


  • Ia berperanan penting bagi penyimpanan tenaga dalam bentuk lemak


  • Ia turut bertindak sebagai ‘pelapik’ dan memberi haba kepada badan


  • Biarpun terletak di bawah kulit, ia turut ditemui di sekitar organ dalaman badan



  • Noktah..==))

    “Psoriasis"


    Assalamualaikum..==))


    Psoriasis ialah penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Adakala ia wujud dan sebaliknya. Ia berlaku disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu bapa menghidap penyakit sama, kebarangkalian anak mendapat penyakit itu mencecah 70 peratus.

    Tahap jangkitan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke seluruh permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok bersisik dikenali sebagai plak psoriatik dan ia adalah bahagian keradangan dengan pengeluaran kulit berlebihan. Seterusnya, kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang ini serta mengakibatkan sel mati berwarna perak. Ia sering didapati di siku, lutut, tetapi juga boleh dijangkiti di mana-mana bahagian badan termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan.

    Sesiapa saja tanpa mengenal jantina dan umur boleh diserang penyakit ini. Begitupun, kebiasaannya ia berlaku buat pertama kalinya pada peringkat umur antara 15 hingga 25 tahun. Luka radang pula boleh menimbulkan rasa pedih, gatal dan menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan hodoh. Malah, psoriasis menggugat fizikal dan emosi pesakit. Apabila ia berlaku, kulit menjadi merah, tebal (akibat berlebihan sel), keras dan menggelupas sebelum tanggal sebagai kepingan nipis berwarna putih keperangan.

    Ia juga menyebabkan kulit menjadi gatal dan membuatkan pesakit sering menggaru hingga berdarah. Gejala ini juga bergantung kepada tahap dan bahagian yang diserang psoriasis. Pesakit juga mungkin mengalami ketidakselesaan dan kecacatan fizikal yang kecil atau besar. Kegatalan dan kesakitan boleh mengganggu fungsi asas seperti penjagaan diri, berjalan dan tidur.

    Pesakit psorisis juga alah kepada cahaya matahari. Jika terdedahkan, kulit akan menjadi merah jambu seperti warna ikan salmon manakala plak yang timbul pada bahagian tangan dan kaki juga mungkin menyebabkan pergerakan individu terbatas, terutama dalam bersukan, malah aktiviti riadah. Plak yang tumbuh di bahagian kulit kepala pula boleh menjadi perkara memalukan disebabkan kepingan bersisik yang boleh menjadi kelemumur. Individu yang mengalami psoriasis mungkin berasa malu mengenai diri mereka dan mempunyai rasa rendah diri bimbang dijauhi masyarakat atau kebimbangan mengenai psikoseksual.

    Kajian dilakukan Yayasan Psoriasis Kebangsaan Amerika Syarikat bersama 426 pesakit psoriasis pada 2008 menyatakan, 71 peratus menganggap penyakit ini menjadi masalah besar dalam kehidupan seharian mereka. Pada masa sama, kajian berasingan melaporkan psoriasis juga memberi kesan terhadap kualiti kehidupan berasaskan kesihatan, terutama kepada 10 hingga 30 peratus pesakit, yang juga mungkin mengalami artritis psoriatik.

    Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit muda mula mengalami masalah kulit sebelum berumur 10 tahun dan tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang mengalami keradangan. Ia juga mengakibatkan kesan buruk terhadap penyakit kronik lain, misalnya kemurungan, bengkak jantung (myocardium infarction), hipertensi, kegagalan jantung kongestif atau kencing manis. Pesakit yang menghidapi psoriasis teruk juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih pendek.

    Psoriasis bukan penyakit berjangkit dan ini satu fakta penting yang perlu disebarkan kepada umum supaya tanggapan dan kebimbangan mengenai penyakit itu dapat diperbetulkan. Mengenai rawatan, pesakit biasanya hanya diberi krim bergantung kepada tahap penyakit masing-masing. Methotrexate, Neotigason, Cyclosporine and Calcipatriol adalah ubat krim yang biasa diberi kepada pesakit,” katanya.


    Jenis psoriasis:


  • Paling lazim adalah psoriasis yang bertompok


  • Jenis teruk yang memerlukan rawatan di hospital dipanggil erythrodermic psoriasis

  • Lampin psoriasis


  • Pustular psoriasis


  • Guttate psoriasis


  • Plaque psoriasis



  •  Noktah..==))