Sunday, January 15, 2012

“Psoriasis"


Assalamualaikum..==))


Psoriasis ialah penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Adakala ia wujud dan sebaliknya. Ia berlaku disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu bapa menghidap penyakit sama, kebarangkalian anak mendapat penyakit itu mencecah 70 peratus.

Tahap jangkitan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke seluruh permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok bersisik dikenali sebagai plak psoriatik dan ia adalah bahagian keradangan dengan pengeluaran kulit berlebihan. Seterusnya, kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang ini serta mengakibatkan sel mati berwarna perak. Ia sering didapati di siku, lutut, tetapi juga boleh dijangkiti di mana-mana bahagian badan termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan.

Sesiapa saja tanpa mengenal jantina dan umur boleh diserang penyakit ini. Begitupun, kebiasaannya ia berlaku buat pertama kalinya pada peringkat umur antara 15 hingga 25 tahun. Luka radang pula boleh menimbulkan rasa pedih, gatal dan menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan hodoh. Malah, psoriasis menggugat fizikal dan emosi pesakit. Apabila ia berlaku, kulit menjadi merah, tebal (akibat berlebihan sel), keras dan menggelupas sebelum tanggal sebagai kepingan nipis berwarna putih keperangan.

Ia juga menyebabkan kulit menjadi gatal dan membuatkan pesakit sering menggaru hingga berdarah. Gejala ini juga bergantung kepada tahap dan bahagian yang diserang psoriasis. Pesakit juga mungkin mengalami ketidakselesaan dan kecacatan fizikal yang kecil atau besar. Kegatalan dan kesakitan boleh mengganggu fungsi asas seperti penjagaan diri, berjalan dan tidur.

Pesakit psorisis juga alah kepada cahaya matahari. Jika terdedahkan, kulit akan menjadi merah jambu seperti warna ikan salmon manakala plak yang timbul pada bahagian tangan dan kaki juga mungkin menyebabkan pergerakan individu terbatas, terutama dalam bersukan, malah aktiviti riadah. Plak yang tumbuh di bahagian kulit kepala pula boleh menjadi perkara memalukan disebabkan kepingan bersisik yang boleh menjadi kelemumur. Individu yang mengalami psoriasis mungkin berasa malu mengenai diri mereka dan mempunyai rasa rendah diri bimbang dijauhi masyarakat atau kebimbangan mengenai psikoseksual.

Kajian dilakukan Yayasan Psoriasis Kebangsaan Amerika Syarikat bersama 426 pesakit psoriasis pada 2008 menyatakan, 71 peratus menganggap penyakit ini menjadi masalah besar dalam kehidupan seharian mereka. Pada masa sama, kajian berasingan melaporkan psoriasis juga memberi kesan terhadap kualiti kehidupan berasaskan kesihatan, terutama kepada 10 hingga 30 peratus pesakit, yang juga mungkin mengalami artritis psoriatik.

Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit muda mula mengalami masalah kulit sebelum berumur 10 tahun dan tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang mengalami keradangan. Ia juga mengakibatkan kesan buruk terhadap penyakit kronik lain, misalnya kemurungan, bengkak jantung (myocardium infarction), hipertensi, kegagalan jantung kongestif atau kencing manis. Pesakit yang menghidapi psoriasis teruk juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih pendek.

Psoriasis bukan penyakit berjangkit dan ini satu fakta penting yang perlu disebarkan kepada umum supaya tanggapan dan kebimbangan mengenai penyakit itu dapat diperbetulkan. Mengenai rawatan, pesakit biasanya hanya diberi krim bergantung kepada tahap penyakit masing-masing. Methotrexate, Neotigason, Cyclosporine and Calcipatriol adalah ubat krim yang biasa diberi kepada pesakit,” katanya.


Jenis psoriasis:


  • Paling lazim adalah psoriasis yang bertompok


  • Jenis teruk yang memerlukan rawatan di hospital dipanggil erythrodermic psoriasis

  • Lampin psoriasis


  • Pustular psoriasis


  • Guttate psoriasis


  • Plaque psoriasis



  •  Noktah..==))

    No comments: