Monday, July 30, 2012

"Setiap Penyakit Ada Penawarnya"

Assalamualaikum..=))



Dari Anas bin Malik r.a, Nabi SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu iaitu sudah puas berubat atau berikhtiar, maka hendaklah ia berdoa: "Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku." (Riwayat Bukhari)

Kita harus berusaha dan berikhtiar dalam apa juga perkara dan kesulitan yang dialami di samping berdoa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT. Kehidupan itu adalah suatu ujian daripada Allah yang diberikan kepada setiap manusia bagi menguji sejauh mana keteguhan iman dan pergantungannya seseorang terhadap Allah swt.

Golongan yang beriman akan sentiasa bersabar dan tabah menghadapi dugaan, sebaliknya bagi orang yang kurang imannya akan sentiasa berfikiran negtif dan sering menyalahkan takdir Allah sehingga dirinya tersasar jauh dari jalan Allah swt.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa beringat bahawa setiap kesakitan atau ujian yang dialami itu adalah suatu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang mana jika seseorang itu berjaya mengatasinya iaitu ia tidak mengeluh dan sentiasa bersabar sambil berusaha dan berikhtiar, Allah akan memberinya ganjaran pahala yang amat besar.

Bukankah setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka kita selaku hamba-Nya mesti yakin akan kebesaran kuasa Allah dan janji Allah serta tidak berputus asa.


Noktah..=))

Sunday, July 29, 2012

"Buasir"

Assalamualaikum..=))


Penyakit buasir atau hemorroids terjadi apabila urat di bahagian rektum (bahagian akhir usus besar) dan dubur membengkak. Apabila urat di bahagian itu membengkak, berlaku pendarahan rektum, sakit dan perit ketika buang air besar. Tekanan yang terlalu tinggi dalam darah di bahagian rektum boleh menyebabkan dinding dubur tertonjol keluar, terutama ketika meneran. Bagaimanapun, buasir tiada kaitan dengan kanser dan bukan penyebab penyakit itu.  

Gejala buasir ialah usus terbonjol atau terkeluar dari dubur, pendarahan rektum, sakit di dubur dan kerengsaan dubur. Buasir dalaman lazimnya tidak menyebabkan sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir jenis ini tidak berbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis ketika buang air besar boleh mencederakan permukaan buasir dan menyebabkannya berdarah manakala Buasir luaran yang terjojol keluar dari dubur sering menyebabkan gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir tersepit, pembekuan darah akan berlaku di dalamnya, menyebabkan ia terasa sakit. Gejala berkenaan menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Buasir jenis ini sukar dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya dan akan berulang walaupun dengan tekanan atau bebanan lebih ringan berbanding yang berlaku sebelumnya.

Pesakit boleh nampak titisan darah berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku, pesakit perlu mendapat bantuan perubatan kerana dikhuatiri darah terbabit datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser usus besar.

Antara sebab utama buasir ialah meneran ketika buang air besar dan sembelit. Masalah ini juga sering dialami wanita hamil disebabkan tekanan yang berlaku di abdomen. Ramai wanita hamil menderita buasir kerana pembesaran rahim secara beransur-ansur meningkatkan tekanan pada beberapa organ dan abdomenTekanan tinggi pada perut yang meningkatkan kes buasir turut berpunca daripada obesiti, duduk terlalu lama ketika bekerja seperti bekerja di pejabat dan pemandu bas atau teksi atau individu yang mengalami sembelit atau cirit-birit kronik.

Jika pekerjaan dilakukan memerlukan anda sentiasa duduk, sekali-sekala anda perlu bangun dan berjalan- jalan sekurang-kurangnya lima minit setiap jam. Bergerak-gerak di kerusi supaya dapat mengelakkan tekanan langsung dari rektum. Hembus nafas keluar apabila anda mengalami ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu, jangan menahan nafas. Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk, cirit-birit dan sembelit kerana buasir selalunya terjadi selepas masalah ini berlarutan. Di samping itu, elakkan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas sebagai amalan kerana ia membuatkan anda duduk lama di tandas.


Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih tiga hingga lima minit, ada sesuatu yang tidak kena. Untuk menghindari buasir, amalkan tabiat buang air besar yang baik dan pastikan najis anda sentiasa lembut. Salur darah lembut dan otot di sekitar dubur membantu mengawal laluan najis.

Disebabkan kes buasir dialami pesakit jarang yang serius, ramai mengambil sikap berdiam diri hingga menyebabkan ia semakin melarat. Akibatnya, pesakit lebih menderita apabila buasir tidak dirawat bertambah teruk.

Rawatan

Pengidap buasir perlu mengamalkan diet berserat tinggi dengan pengambilan sayuran dan buahan dan banyakkan minum air kosong anggaran dua liter sehari. Pengambilan makanan berserat tinggi, makanan tambahan dan mempunyai kandungan cecair tinggi dapat mengatasi 90 peratus kes buasir.

Gejala sakit dan kerengsaan boleh dilegakan dengan penggunaan sapuan krim tertentu. Ia disediakan dengan kombinasi beberapa ubat tahan sakit dan agen antikerengsaan serta steroid. Mandian air panas dengan memasukkan satu atau dua sudu air garam boleh melegakan kesakitan dan bengkak pada dubur. 

Buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konservatif, dirawat dengan mengikatnya dengan lingkaran getah (rubber band ligation). Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir berkenaan. Dalam masa tujuh hingga 10 hari, buasir itu akan tertanggal keluar.

Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman dan ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Namun, pesakit mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.

Koagulasi Inframerah iaitu sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Pesakit mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan berlaku sedikit pendarahan dalam beberapa hari selepas itu. Prosedur ini sama seperti ikatan lingkaran getah, dan dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Namun ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan.

Elektrokoagulasi bipolar yang juga dikenali dengan nama Bicap adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan sama. Terapi laser akan mengewapkan tisu buasir. Bagaimanapun, prosedur ini lebih mahal dan tidak menunjukkan kelebihan daripada prosedur lain. Ia perlu dijalankan dengan berhati-hati daripada segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelak pendarahan dan kesakitan pesakit.

90 peratus pesakit yang mengadu mengenai gejala buasir tidak memerlukan pembedahan. Pembedahan biasanya langkah terakhir apabila kedua-dua jenis buasir (dalaman dan luaran) menjadi semakin teruk manakala rawatan lain tidak berjaya menyembuhkannya.

Kaedah ini didapati berkesan tetapi pesakit terpaksa tinggal di hospital sehari dua dan mengambil masa lama untuk sembuh berbanding pendekatan lain.

Punca buasir:


  • Duduk untuk jangka masa lama. 
  • Meneran (ketika najis keras atau sembelit). 
  • Cirit-birit. 
  • Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama. 
  • Batuk yang teruk. 
  • Bersalin. 
  • Mengangkat berat. 
  • Pengamalan seks melalui dubur oleh golongan heteroseksual dan homoseksual.

    Tahap buasir: 
  • Pendarahan. 
  • Dinding dubur terkeluar dan masuk kembali dengan sendirinya.
  • Dinding dubur terkeluar dan pesakit perlu menolaknya ke dalam untuk memasukkannya semula ke dalam dubur.
  • Dinding dubur terjulur keluar dan tidak boleh dimasukkan semula ke dalam dubur.

    Pengurusan sendiri
  • Banyak minum air, sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter sehari.
  • Makan makanan seimbang. Banyakkan memakan makanan tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Gunakan tandas pada masa ditetapkan seperti selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air
  • Elak memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh). Apabila wujud gejala tertentu (seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur), segera berjumpa doktor.


  • Noktah..=))

    "Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)."


    Assalamualaikum..=))



    Sekatan pulmonari kronik atau chronic obstructive pulmonary disease (COPD) adalah sejenis penyakit paru-paru tegar akibat pernafasan tersekat disebabkan kerosakan dan radang paru-paru. Penyakit ini adalah masalah kesihatan utama yang membabitkan kira-kira 65 juta orang di seluruh dunia. COPD juga punca kematian ke-5 paling utama di seluruh dunia dan WHO meramalkan ia akan menduduki tempat ketiga menjelang 2030.

    Ramai tidak menyedari tentang bahaya penyakit ini disebabkan kurang pendedahan dan pengetahuan. COPD sinonim dengan perokok, di mana 90 peratus penyakit ini disebabkan tabiat merokok tetapi masih ramai mengambil ringan mengenainya. Kita tidak akan menyedari kehadirannya sehingga timbul rasa kurang selesa dan sukar bernafas, malah kebanyakan yang datang berjumpa doktor tidak tahu mereka ada COPD.

    Kesedaran mengenai impak COPD masih rendah dan ia benar-benar membimbangkan. Ramai ambil ringan mengenai simptom seperti batuk kerana menganggap ia hanya perkara biasa tanpa mengetahui ia boleh membawa kesan negatif jika tidak dirawat. Rawatan awal mampu mengelakkan COPD menjadi lebih teruk. Jalani hidup sihat dan jangan merokok. Segera berjumpa doktor jika rasa tidak sihat kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Ini kerana, COPD menyerang secara senyap. Kebanyakan yang berjumpa doktor selalu datang pada saat akhir. Jadi, tidak banyak yang boleh dilakukan. Sebenarnya, tidak susah mengelakkan diri daripada COPD.

    Paling utama, jauhi rokok kerana ia punca utama. COPD bukan penyakit biasa kerana ia memberi kesan terhadap pesakit. Ia juga menyebabkan pesakit tidak mampu bekerja sepenuh masa kerana sering mengalami gangguan kesihatan. Ubat oral (Roflumilastdisarankan sebagai rawatan penyenggaraan COPD teruk yang dikaitkan dengan bronkitis kronik di kalangan pesakit dewasa yang mempunyai sejarah peningkatan penyakit yang bertambah teruk dan bertindak sebagai terapi tambahan menangani bronkodilator.

    Roflumilast mempunyai kaedah tindakan unik iaitu perencatan enzim fosfodiesterase 4 (PDE4). Ia mengurangkan aktiviti keradangan sel. Apabila digunakan seiring dengan terapi penyenggaraan utama, ia memberi manfaat tambahan mengurangkan risiko penyakit daripada menjadi lebih teruk. Roflumilast berupaya menstabilkan pesakit yang kerap mengalami COPD daripada bertambah teruk.

    Noktah..=))

    Thursday, July 19, 2012

    "Salam Ramadhan Al-Mubarak"

    Assalamualaikum..=))
    Wahai orang‐orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183) 



    .


























    Alhamdulillah,. akhirnya kita berkesempatan bertemu kembali dengan bulan Ramadhan pada 21 julai 2012 masihi, bersamaan 1 ramadhan 1433 H. Rasulullah s.a.w ada menyebut, bulan Rejab bulan Allah, Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku. InsyaAllah, segala kebaikan walaupun sebesar zarah akan dilipat gandakan oleh Allah swt kerana bulan Ramadhan adalah bulan bagi umatnya merebut segala keberkatan dan beribadat kepadanya.

    Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda bahawa sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan iaitu  bulan berkat, yang mana Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Dibukakan padanya pintu-pintu syurga dan ditutup rapat pintu-pintu neraka serta ditambat padanya syaitan-syaitan. Di bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia adalah manusia yang rugi..-(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)

    Dikesempatan ini, us ingin ucapkan selamat menyambut Ramadhan al-mubarak buat semua kawan-kawan. Moga-moga Ramadhan kali ini membawa seribu satu barakah untuk diri dan orang disekeliling kita dan seterusnya beroleh rahmat dan keberkatan dari Nya.. May Allah bless your day with prosperity, happiness and hope..Amin..==))  

    p/s.. Sedih betul sambut ramadhan seorang-sorang di perantauan..;p

    Noktah..;p

    Sunday, July 1, 2012

    "Virus Punca Sakit Tekak"

    Assalamualaikum..=))


    Sakit tekak adalah simptom yang membabitkan kawasan sekitar tonsil dan farinks. Sakit tekak dikenali sebagai pharyngitis jika ia membabitkan bahagian farinks dan tonsillitis jika membabitkan kedua-dua bahagian tonsil. Apabila membabitkan kedua-dua bahagian farinks dan tonsil, ia dikenali sebagai pharyngotonsillitis. Pharynx adalah sebahagian tekak yang terletak di antara mulut dan peti larinks atau suara. Ia selalunya dikaitkan dengan selesema biasa atau influenza. Biasanya, ia sembuh tanpa komplikasi tetapi di dalam sesetengah kes, ia berkembang menjadi penyakit serius. 

    Sakit tekak berlaku apabila radang terjadi membabitkan membran mukus yang melapisi farinks atau tonsil. Ia mengakibatkan rasa tidak selesa, sakit atau gatal pada bahagian tekak. Kesakitan sewaktu menelan adalah simptom lain yang biasanya berlaku ketika sakit tekak. Penyakit ini sangat mudah berlaku, terutama di kalangan kanak-kanak. Biasanya, sakit lebih teruk pada waktu pagi dan kesakitan berkurang keesokannya.  Sakit tekak yang tidak rumit biasanya berlanjutan sehingga tiga hari manakala yang teruk berlaku lebih lama, mungkin membabitkan gejala lebih serius seperti tonsilitis atau laryngitis (radang di bahagian larinks atau peti suara). 


    Penyebab sakit tekak 


    Biasanya disebabkan jangkitan virus atau bakteria. Bakteria memberi tindak balas baik kepada rawatan antibiotik, manakala virus biasanya sembuh dengan sendiri dalam jangka masa tertentu. Sakit tekak biasanya disebarkan melalui perkongsian minuman, bercium, batuk, menghembus hidung dan bersin. 

    Punca sakit tekak 


  • Jangkitan bakteria - disebabkan oleh bakteria streptococcal. Ia membawa komplikasi demam reumatik yang boleh mencetuskan masalah injap jantung atau radang buah pinggang. Bakteria lain yang boleh menyebabkan sakit tekak adalah gonorea, iaitu sejenis jangkitan kelamin. 

  • Jangkitan virus - kebanyakan sakit tekak disebabkan jangkitan virus dan ada pelbagai jenis yang menyebabkan ia sembuh dengan sendiri dalam masa beberapa hari, bergantung pada jenis virus terbabit. Virus terkenal adalah Epstein-Barr, yang menyebabkan demam dan bengkak di kelenjar pada leher. 

  • Tonsilitis - ia adalah keradangan tonsil. Tonsilitis kronik berlaku apabila berlaku banyak kerosakan kepada tonsil. Dalam keadaan ini, tekak berasa sakit selain sering disertai nafas berbau. Demam di bahagian kelenjar pada leher juga boleh menyebabkan masalah sakit tekak. 

    Kemungkinan punca lain 

    Penyakit campak (measles) juga boleh menyebabkan sakit tekak pada sesetengah keadaan. Bernafas melalui mulut boleh menyebabkan tekak kering dan menyakitkan. Dalam beberapa kes, sakit tekak mungkin tanda kanser kerongkong (biasanya di kalangan perokok) atau Aids alahan. 

    Alahan selalunya tidak menyebabkan sakit tekak secara tiba-tiba. Bagaimanapun, boleh menyebabkan kerengsaan tekak kronik yang ringan. 

    Pembedahan seperti pembuangan tonsil (tonsillectomy) boleh membawa kepada sakit tekak dan penggunaan tiub ketika anastesia untuk pembedahan juga boleh menyebabkan sakit tekak selepas pembedahan. 

    Tanda lain bagi sakit tekak 

  • Sakit di tekak dan adakala merebak ke telinga. 

  • Kelenjar limfa membengkak di bawah rahang dan leher. Jika sakit tekak disebabkan virus Coxsackie, lepuh kecil boleh kelihatan pada tonsil dan lelangit lembut (soft palate). 

  • Jika sakit tekak disebabkan jangkitan streptococcal, tonsil sering membengkak dan bersalut putih. Demam, sakit kepala dan muntah serta kesukaran membuka mulut selain suara menjadi serak. 

    Rawatan 

    Antara rawatan yang boleh dicuba di rumah sebelum berjumpa doktor ialah banyak minum air suam, berkumur dengan air garam dan menghisap ubatan lozenges, di samping pengambilan ubat demam atau tahan sakit (painkiller). Bagaimanapun, jika sakit tekak berterusan, segera berjumpa doktor untuk rawatan. Doktor akan memeriksa sama ada antibiotik diperlukan untuk rawatan atau tidak dan ubatan sampingan juga akan dibekalkan. Begitu pun, sakit tekak yang berkait dengan demam kuat dan kesukaran menelan mungkin memerlukan kemasukan ke wad untuk antibiotik intravena.

    Noktah..=))
  • "Lemah Kawalan Kencing (LUL)"



    Assalamualaikum..=))


    Sekiranya anda sering berdepan dengan masalah sukar mengawal pengeluaran air kencing, ia merupakan petanda bahawa anda sedang menghadapi masalah lemah kawalan kencing atau dikenali sebgai LUL. Selalunya, masalah ini berlaku kepada golongan wanita terutamanya warga emas yang pernah melahirkan anak. Emak us juga pernah mengalami gejala ini pada waktu tertentu, terutamanya apabila makan makanan berkuah seperti laksa.. us pun pelik apa kaitannya laksa dengan masalah LUL ini. Bagi masyarakat kampung terutamanya bagi orang utara, laksa adalah makanan yang larangan ketika berpantang bagi wanita yang baru melahirkan anak kerana laksa dan kuahnya boleh menyebabkan urat dan rahim mengembang. Jadi atas sebab ini wanita yang mengamalkan proses berpantang dilarang makanan berkuah terutamanya laksa selama setahun selepas melahirkan anak.

    Lemah Kawalan Kencing (LUL) merupakan masalah kesukaran mengawal pengeluaran air kencing dimana otot lantai pelvik wanita menjadi lemah sehingga tidak cukup kuat untuk menahan air kencing daripada mengalir keluar. Gejala dimana rasa hendak buang air kencing yang datang secara tiba-tiba dan tidak boleh ‘berkompromi’ walaupun sesaat membuatkan individu itu menjadi kelam-kabut dan tidak sempat hendak ke tandas. Gejala pundi kencing lemah ini juga dikenali sebagai inkontinens urinari, lemah pundi kencing atau terkucil yang turut berlaku ketika ketawa, batuk, bersin, bersenam dan mengangkat barangan.




    Masalah ini kerap berlaku kepada golongan wanita. Kaji selidik Inkontinens Sedunia 2010 Poise mendapati, 30 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami LUL dan 70 peratus daripada mereka ialah wanita. Wanita mengalami LUL lapan hingga sembilan kali lebih kerap berbanding lelaki. Satu daripada empat wanita berusia 35 tahun ke atas mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Dianggarkan 10 peratus daripada 65 orang lelaki menderita masalah ini. Kaji selidik 2011 Poise pula mendapati, 45 peratus daripada 158 responden malu untuk berbincang masalah LUL yang mereka hadapi dan lebih daripada 40 peratus sanggup mengelak daripada menggunakan produk LUL semata-mata bagi menyembunyikan masalah mereka.


    LUL bukan penyakit, ia merupakan gejala yang  disebabkan oleh masalah kesihatan atau kadangkala kesan pengambilan ubatan. Masalah itu menjejaskan keadaan fizikal, emosi dan psikologi wanita.  Ada yang menganggap LUL tidak akan menjadi lebih teruk dan akan pulih dengan sendiri. Namun, tanggapan itu salah kerana gejala LUL boleh bertambah teruk jika tidak dirawat.

    Untuk mengatasi masalah kerap kencing atau rasa ingin kencing yang tidak dapat ditahan, ada pesakit mengambil langkah mengurangkan minum air. Apapun, langkah itu menyebabkan masalah lain seperti kepekatan air kencing meningkat dan boleh menyebabkan kerengsaan pundi kencing dan mengakibatkan masalah lebih teruk seperti jangkitan penyakit dan dehidrasi. Pengurangan pengambilan cecair juga boleh menyebabkan masalah sembelit yang boleh memburukkan keadaan.

    Wanita lebih berisiko mengalami LUL ketika hamil atau selepas melahirkan anak kerana tekanan rahim terhadap pundi kencing. Proses melahirkan anak juga kadangkala melemahkan otot pelvik selain pertukaran hormon akibat menopaus. Wanita yang menghadapi masalah LUL tidak harus terlalu malu kerana ada cara untuk menanganinya seperti menjaga diet, mengekalkan berat badan sihat dan melakukan senaman kegel.

    Wanita juga perlu elak minum air batu yang mudah menyebabkan batuk serta mengambil minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang menyebabkan radang atau kerengsaan pada pundi kencing. Sebilangan wanita mengalami pundi kencing terlalu aktif (OAB) yang menyebabkan kerap perlu ke tandas atau lebih tujuh hari sehari. OAB berpunca daripada kerosakan saraf pada penghujung pundi kencing atau penghidap penyakit yang ada kaitan dengan sistem saraf di kalangan Parkinson, sklerosis multiple (penyakit kronik pada sistem saraf yang dialami orang muda dan pertengahan umur) dan dementia (nyanyuk).

    Walaubagaimanapun, wanita yang mempunyai otot lantai pelvik yang baik jarang mengalamani LUL.  Ini bermakna, senaman atau bersukan bukan penyebab LUL. Bagaimanapun, senaman meningkatkan tekanan pada bahagian tengah abdomen dan organ pelvik di mana terletaknya perut, pelvis dan rektum. Oleh itu, cara terbaik untuk membantu jika seseorang itu mengalami LUL ialah melakukan senaman kegel bagi menguatkan otot lantai pelvik (otot di bawah pundi kencing) dan membantu menghalang kebocoran. Senaman kegel ialah rawatan berkesan untuk wanita dewasa yang mengalami lemah kawalan kencing dan tidak mendatangkan risiko kesan sampingan.

    Senaman ini perlu dilakukan dengan betul. Pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian, kemutkan otot pelvik anda seakan cuba untuk menahan kencing. Tahan otot itu selama 10 saat ketika bernafas normal, kemudian relaks. Ulangi sebanyak 10 kali, tiga kali sehari.

    Ini kerana, keberkesanan senaman kegel bagi mengatasi masalah ini ialah 100 peratus. Pesakit berusia 30 hingga 40 tahun mengambil masa tiga bulan untuk bebas LUL selepas menjalani senaman ini manakala untuk yang lebih berusia, masa antara empat hingga enam bulan diperlukan untuk pulih.


    Jenis inkontinen:


    1. Inkontinen jenis tekanan (stres)


  • mengalami kebocoran air kecil ketika batuk, bersin, ketawa, bersenam, mengangkat bebanan dan melakukan aktiviti berat.

  • melahirkan anak dan menjalani sesetengah pembedahan boleh melemahkan otot lantai pelvik, menyebabkan kebocoran urin ketika bahagian abdomen mengalami tekanan. Keadaan ini selalunya berlaku pada perempuan yang masih muda.

    2. Inkontinen jenis desakan

  • boleh kehilangan air kencing dalam jumlah yang besar. Wujud perasaan ‘tidak sempat ke bilik air’. Selalunya disebabkan pundi kencing yang terlebih aktif.

  • akibat jangkitan yang menyebabkan radang kepada pundi kencing atau salur keluar pundi kencing atau menyebabkan spasma (pengecutan otot luar kawalan) otot yang memaksa pengeluaran air kencing dari pundi kencing.

  • sembelit juga boleh menyebabkan masalah ini akibat kehilangan keupayaan untuk mengawal otot.

  • strok, kecederaan spinal cord (saraf tunjang), nyanyuk, Parkinson dan sklerosis multiple.

    3. Inkontinen jenis campuran

  • tidak mustahil jika seseorang mengalami simptom inkontinen jenis stres dan desakan serentak. Kedua-dua jenis masalah ini mungkin berkaitan atau sebaliknya, namun tetap perlu diteliti secara berasingan.

    4. Inkontinen jenis melimpah

  • sesetengah wanita mengalami keadaan di mana mereka tiada rasa desakan untuk kencing atau mengalami keadaan yang mana uretra tersumbat. Dalam kedua-dua keadaan ini, pundi kencing tidak dapat dikosongkan dengan sepenuhnya. Apabila air kencing di dalam pundi berlebihan, ia akan dipaksa keluar. Lemah kawalan kencing jenis ini sering berpunca daripada masalah sistem saraf dan kecederaan pada otot saraf tunjang.

    5. Inkontinen disebabkan penggunaan ubat

    Ada ubat boleh menjadi punca kegagalan kawalan kencing untuk mengecutkan otot atau menghalang isyarat daripada pundi kencing yang penuh ke otak. Dalam keadaan ini, doktor mungkin menukar jenis ubat yang diambil bagi mengurangkan kesan sampingan dialami.

    Apakah yang boleh anda lakukan?

  • Kekalkan berat badan yang sesuai untuk mengurangkan bebanan pada otot lantai pelvik.

  • Amalkan senaman bagi menguatkan otot lantai pelvik.

  • Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.

  • Gunakan pelapik seluar yang direka khas untuk masalah LUL. Ia boleh memberikan anda perlindungan daripada kebocoran supaya selesa dan yakin sepanjang hari.



  • Noktah..=))