Sunday, July 1, 2012

"Lemah Kawalan Kencing (LUL)"



Assalamualaikum..=))


Sekiranya anda sering berdepan dengan masalah sukar mengawal pengeluaran air kencing, ia merupakan petanda bahawa anda sedang menghadapi masalah lemah kawalan kencing atau dikenali sebgai LUL. Selalunya, masalah ini berlaku kepada golongan wanita terutamanya warga emas yang pernah melahirkan anak. Emak us juga pernah mengalami gejala ini pada waktu tertentu, terutamanya apabila makan makanan berkuah seperti laksa.. us pun pelik apa kaitannya laksa dengan masalah LUL ini. Bagi masyarakat kampung terutamanya bagi orang utara, laksa adalah makanan yang larangan ketika berpantang bagi wanita yang baru melahirkan anak kerana laksa dan kuahnya boleh menyebabkan urat dan rahim mengembang. Jadi atas sebab ini wanita yang mengamalkan proses berpantang dilarang makanan berkuah terutamanya laksa selama setahun selepas melahirkan anak.

Lemah Kawalan Kencing (LUL) merupakan masalah kesukaran mengawal pengeluaran air kencing dimana otot lantai pelvik wanita menjadi lemah sehingga tidak cukup kuat untuk menahan air kencing daripada mengalir keluar. Gejala dimana rasa hendak buang air kencing yang datang secara tiba-tiba dan tidak boleh ‘berkompromi’ walaupun sesaat membuatkan individu itu menjadi kelam-kabut dan tidak sempat hendak ke tandas. Gejala pundi kencing lemah ini juga dikenali sebagai inkontinens urinari, lemah pundi kencing atau terkucil yang turut berlaku ketika ketawa, batuk, bersin, bersenam dan mengangkat barangan.




Masalah ini kerap berlaku kepada golongan wanita. Kaji selidik Inkontinens Sedunia 2010 Poise mendapati, 30 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami LUL dan 70 peratus daripada mereka ialah wanita. Wanita mengalami LUL lapan hingga sembilan kali lebih kerap berbanding lelaki. Satu daripada empat wanita berusia 35 tahun ke atas mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Dianggarkan 10 peratus daripada 65 orang lelaki menderita masalah ini. Kaji selidik 2011 Poise pula mendapati, 45 peratus daripada 158 responden malu untuk berbincang masalah LUL yang mereka hadapi dan lebih daripada 40 peratus sanggup mengelak daripada menggunakan produk LUL semata-mata bagi menyembunyikan masalah mereka.


LUL bukan penyakit, ia merupakan gejala yang  disebabkan oleh masalah kesihatan atau kadangkala kesan pengambilan ubatan. Masalah itu menjejaskan keadaan fizikal, emosi dan psikologi wanita.  Ada yang menganggap LUL tidak akan menjadi lebih teruk dan akan pulih dengan sendiri. Namun, tanggapan itu salah kerana gejala LUL boleh bertambah teruk jika tidak dirawat.

Untuk mengatasi masalah kerap kencing atau rasa ingin kencing yang tidak dapat ditahan, ada pesakit mengambil langkah mengurangkan minum air. Apapun, langkah itu menyebabkan masalah lain seperti kepekatan air kencing meningkat dan boleh menyebabkan kerengsaan pundi kencing dan mengakibatkan masalah lebih teruk seperti jangkitan penyakit dan dehidrasi. Pengurangan pengambilan cecair juga boleh menyebabkan masalah sembelit yang boleh memburukkan keadaan.

Wanita lebih berisiko mengalami LUL ketika hamil atau selepas melahirkan anak kerana tekanan rahim terhadap pundi kencing. Proses melahirkan anak juga kadangkala melemahkan otot pelvik selain pertukaran hormon akibat menopaus. Wanita yang menghadapi masalah LUL tidak harus terlalu malu kerana ada cara untuk menanganinya seperti menjaga diet, mengekalkan berat badan sihat dan melakukan senaman kegel.

Wanita juga perlu elak minum air batu yang mudah menyebabkan batuk serta mengambil minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang menyebabkan radang atau kerengsaan pada pundi kencing. Sebilangan wanita mengalami pundi kencing terlalu aktif (OAB) yang menyebabkan kerap perlu ke tandas atau lebih tujuh hari sehari. OAB berpunca daripada kerosakan saraf pada penghujung pundi kencing atau penghidap penyakit yang ada kaitan dengan sistem saraf di kalangan Parkinson, sklerosis multiple (penyakit kronik pada sistem saraf yang dialami orang muda dan pertengahan umur) dan dementia (nyanyuk).

Walaubagaimanapun, wanita yang mempunyai otot lantai pelvik yang baik jarang mengalamani LUL.  Ini bermakna, senaman atau bersukan bukan penyebab LUL. Bagaimanapun, senaman meningkatkan tekanan pada bahagian tengah abdomen dan organ pelvik di mana terletaknya perut, pelvis dan rektum. Oleh itu, cara terbaik untuk membantu jika seseorang itu mengalami LUL ialah melakukan senaman kegel bagi menguatkan otot lantai pelvik (otot di bawah pundi kencing) dan membantu menghalang kebocoran. Senaman kegel ialah rawatan berkesan untuk wanita dewasa yang mengalami lemah kawalan kencing dan tidak mendatangkan risiko kesan sampingan.

Senaman ini perlu dilakukan dengan betul. Pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian, kemutkan otot pelvik anda seakan cuba untuk menahan kencing. Tahan otot itu selama 10 saat ketika bernafas normal, kemudian relaks. Ulangi sebanyak 10 kali, tiga kali sehari.

Ini kerana, keberkesanan senaman kegel bagi mengatasi masalah ini ialah 100 peratus. Pesakit berusia 30 hingga 40 tahun mengambil masa tiga bulan untuk bebas LUL selepas menjalani senaman ini manakala untuk yang lebih berusia, masa antara empat hingga enam bulan diperlukan untuk pulih.


Jenis inkontinen:


1. Inkontinen jenis tekanan (stres)


  • mengalami kebocoran air kecil ketika batuk, bersin, ketawa, bersenam, mengangkat bebanan dan melakukan aktiviti berat.

  • melahirkan anak dan menjalani sesetengah pembedahan boleh melemahkan otot lantai pelvik, menyebabkan kebocoran urin ketika bahagian abdomen mengalami tekanan. Keadaan ini selalunya berlaku pada perempuan yang masih muda.

    2. Inkontinen jenis desakan

  • boleh kehilangan air kencing dalam jumlah yang besar. Wujud perasaan ‘tidak sempat ke bilik air’. Selalunya disebabkan pundi kencing yang terlebih aktif.

  • akibat jangkitan yang menyebabkan radang kepada pundi kencing atau salur keluar pundi kencing atau menyebabkan spasma (pengecutan otot luar kawalan) otot yang memaksa pengeluaran air kencing dari pundi kencing.

  • sembelit juga boleh menyebabkan masalah ini akibat kehilangan keupayaan untuk mengawal otot.

  • strok, kecederaan spinal cord (saraf tunjang), nyanyuk, Parkinson dan sklerosis multiple.

    3. Inkontinen jenis campuran

  • tidak mustahil jika seseorang mengalami simptom inkontinen jenis stres dan desakan serentak. Kedua-dua jenis masalah ini mungkin berkaitan atau sebaliknya, namun tetap perlu diteliti secara berasingan.

    4. Inkontinen jenis melimpah

  • sesetengah wanita mengalami keadaan di mana mereka tiada rasa desakan untuk kencing atau mengalami keadaan yang mana uretra tersumbat. Dalam kedua-dua keadaan ini, pundi kencing tidak dapat dikosongkan dengan sepenuhnya. Apabila air kencing di dalam pundi berlebihan, ia akan dipaksa keluar. Lemah kawalan kencing jenis ini sering berpunca daripada masalah sistem saraf dan kecederaan pada otot saraf tunjang.

    5. Inkontinen disebabkan penggunaan ubat

    Ada ubat boleh menjadi punca kegagalan kawalan kencing untuk mengecutkan otot atau menghalang isyarat daripada pundi kencing yang penuh ke otak. Dalam keadaan ini, doktor mungkin menukar jenis ubat yang diambil bagi mengurangkan kesan sampingan dialami.

    Apakah yang boleh anda lakukan?

  • Kekalkan berat badan yang sesuai untuk mengurangkan bebanan pada otot lantai pelvik.

  • Amalkan senaman bagi menguatkan otot lantai pelvik.

  • Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.

  • Gunakan pelapik seluar yang direka khas untuk masalah LUL. Ia boleh memberikan anda perlindungan daripada kebocoran supaya selesa dan yakin sepanjang hari.



  • Noktah..=))

    No comments: