Sunday, December 18, 2011

"Gastroesofagus Refluks"

Assalamualaikum.==))


Gastroesofagus refluks  terjadi apabila injap otot di bawah esofagus (lower esophageal sphincter-LES) gagal berfungsi dengan baik hingga menyebabkan asid mengalir balik memasuki ruang esofagus.

Jus asid yang terkandung dalam perut sebenarnya berfungsi mencerna serta menghapus bakteria bahaya kepada tubuh manusia. Apabila injap terbuka, ia menyebabkan asid memasuki ruang aliran esofagus (tiub saluran yang membawa makanan ke perut) kemudian memberi kesan terhadap individu terbabit seperti terasa pedih di dada. 

Wujudnya mitos di kalangan masyarakat beranggapan GERD dan pedih hulu hati ialah penyakit sama, cuma berbeza pada nama mengikut istilah saintifik. Pedih hulu hati sebenarnya simptom utama GERD. Ia membuatkan penghidap merasa senak akibat penolakan asid ke dalam esofagus, sekali gus menghasilkan rasa seakan-akan terbakar di dada. Pedih hulu hati yang kerap menyerang pesakit lebih dua kali seminggu dipanggil GERD, ia berbeza dengan refluks biasa. Harus diingatkan, GERD bukan sekadar dirasai individu berusia lanjut, bahkan setiap orang berisiko menghidapinya berdasarkan faktor usia, bangsa dan budaya pemakanan di kalangan keluarga.


Hal itu terbukti apabila kajian mendapati dua hingga lapan peratus kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun memiliki tanda-tanda GERD, malah risiko turut meningkat seiring peningkatan umur, terutama mencecah 40 tahun. Penghidap GERD perlu mengambil berat mengenai kaedah rawatannya sebelum ia bertambah kronik hingga menyebabkan komplikasi serius. Radang esofagus dihasilkan asid perut, boleh merosakkan tisu perut, selain mengakibatkan pendarahan atau ulser-esophagitis mahupun saluran esofagus menjadi sempit.

Bagi individu yang mengalami esofagus Barret (perubahan lapisan esofagus di segi bentuk dan warna), mereka mempunyai risiko kanser esofagus dan kemungkinan mengancam nyawa pesakit. GERD juga antara penyumbang utama penyakit asma, batuk kronik, kerosakan gigi serta fibrosis pulmonari. Ramai penghidap GERD memandang ringan kesan buruk penyakit ini dan hanya mendapatkan rawatan apabila berasa sakit serta tidak selesa bertambah kerap. Lebih teruk, hampir separuh pesakit sanggup menanggung kesakitan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum berjumpa doktor.

Beberapa faktor menyebabkan jus asid perut masuk ke esofagus, antaranya perubahan hormon ketika mengandung apabila injap tidak tertutup rapat dan peningkatan tekanan abdomen, pencernaan perlahan atau perut terlalu penuh dengan makanan bersaiz besar, sekali gus membuatkan LES berada di kedudukan lebih rendah.  GERD memberi kesan negatif kepada kehidupan individu sama ada pada waktu santai mahupun bekerja, malah kajian mengenai kesan GERD terhadap mutu kehidupan dilakukan di Asia baru-baru ini, mendapati 50 peratus penghidap mengalami gangguan tidur hingga mengurangkan produktiviti kerja masing-masing.

Bagi mengurangkan penderitaan pesakit GERD, mereka dibekalkan ubat Perencat Pam Proton (PPI) untuk menghalang pengeluaran asid dan pengalirannya ke esofagus. PPI mampu menyembuhkan tisu esofagus yang rosak akibat hakisan asid dalam tempoh empat hingga lapan minggu. Pesakit juga digalak mengamalkan gaya hidup sihat dan pengambilan makanan seimbang.

CARA PENCEGAHAN GERD:


  • Mengekalkan berat badan sihat. Pengurangan 10 peratus daripada berat badan boleh menghindari GERD


  • Makan makanan bersaiz kecil bagi mengurangkan tekanan pada LES


  • Menaikkan kepala katil sekurang-kurang 15 hingga 20 sentimeter boleh membantu graviti menyimpan asid dalam perut


  • Duduk tegak selepas makan. Berbaring selepas tiga jam pengambilan makanan


  • Kurangkan pengambilan makanan yang menyebabkan refluks termasuk makanan berlemak, pedas dan berasid seperti tomato, limau, pudina, coklat, bawang, kopi serta minuman berkarbonat


  • Merokok

  • Alkohol

  • Berpakaian ketat kerana ia memberi tekanan kepada abdomen dan LES.





  • Noktah==))

    No comments: