Assalamualaikum..=))
Obesiti atau berat badan berlebihan bukan lagi masalah
individu. Sebaliknya telah menjadi wabak di peringkat global apabila diramalkan
lebih daripada separuh penduduk dewasa di dunia mengalaminya dalam tempoh dua
dekad akan datang. Pendedahan terbaru oleh kumpulan
pakar dalam bidang kesihatan, nutrisi dan kecergasan mendorong isu itu turut di
bincangkan ketika Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru
ini.
Kumpulan pakar tersebut mengesa
agar langkah-langkah segera diambil, bukan hanya sekadar menyalahkan
individu-individu terbabit yang tidak bersungguh-sungguh untuk menangani
masalah ini. Mereka berkata, krisis obesiti yang semakin meningkat dan membawa
maut perlu ditangani dengan kesungguhan di peringkat pembuat dasar sebagaimana
mereka memerangi gejala merokok selama ini.
Dengan keadaan makanan yang
semakin hari semakin tidak sihat serta gaya hidup bersenang-senang (sedentary)
yang semakin meningkat, jawapan segera perlu dicari bagi krisis yang telah
membawa kepada peningkatan kes diabetes dan serangan jantung. Krisis obesiti
sendiri telah membunuh 2.8 juta orang dewasa setiap tahun. Dekan School of
Public Health di Universiti Columbia Amerika Syarikat, Linda Fried,
berkata, perangkaan terbaru menunjukkan 1.4 bilion individu dewasa di seluruh dunia
mengalami berat badan berlebihan.
Jumlah itu dijangka meningkat dari
setahun ke setahun dan dalam tempoh 20 tahun lagi jika terus meningkat seperti
corak sekarang, kemungkinan besar 50-60 peratus penduduk dewasa dunia adalah
individu yang berat badannya berlebihan. Jika ini (obesiti) adalah penyakit
berjangkit kita sudah boleh isytiharkan ia sebagai wabak. Ini bukan lagi
masalah serantau, sebaliknya global kerana meningkat dengan begitu cepat dan
berterusan. Para pakar sepakat menyatakan bahawa langkah pertama bagi
menyelesaikan krisis ini adalah dengan mengubah tanggapan orang ramai terhadap
obesiti iaitu dengan menyalahkan mereka yang obes, bukannya keadaan
persekitaran mereka.
Dalam tempoh 30 tahun, peratus
penduduk dunia yang berlebihan berat badan telah meningkat dua kali ganda. Setakat
ini tidak ada bukti secara global bahawa ia berpunca daripada kurang keazaman
atau kesungguhan individu terbabit. Sebaliknya kesalahan patut diletakkan pada
makanan berkalori tinggi yang mudah diperolehi dan secara relatifnya murah. Selain
itu proses urbanisasi yang meningkat di seluruh dunia juga telah membawa kepada
gaya hidup kurang aktif.
Sementara itu, Naib Presiden Nike
bagi Akses untuk Sukan, Lisa
MacCallum Carter, berkata, obesiti dikaitkan dengan krisis hidup tanpa
aktiviti, hasil daripada proses urbanisasi. Beliau berkata, jumlah waktu untuk
senaman harian terutama pergerakan yang tidak secara langsung (seperti berjalan
kaki) telah berkurang dengan begitu ketara. Sebagai contoh katanya, masyarakat
hari ini lebih mudah menghantar emel daripada berjalan ke pejabat di seberang
jalan untuk berbual dengan rakan sekerja mereka.
Pada masa sama, makanan yang
diambil juga semakin kurang sihat dengan produk yang kandungan lemak dan
garamnya tinggi, serta makanan tiruan, semakin mudah dihasilkan dan dipasarkan.
Cara pasaran yang kita lihat sekarang turut membantu meningkatkan trend ini
dengan lebih cepat.
Noktah=))
No comments:
Post a Comment