Sunday, June 3, 2012

"Parkinson."

Assalamualaikum..=))

Parkinson adalah penyakit penyusutan keupayaan otak di mana berlakunya kekurangan dopamine dalam otak. Dopamine ialah bahan kimia yang diperlukan untuk mengawal pergerakan badan yang lancar.Ia berlaku kepada semua bangsa di dunia, tanpa mengira lelaki atau perempuan. Meskipun gejala ini biasa berlaku di kalangan warga emas, namun 10 peratus daripada pesakit ini mula menghidapinya ketika berusia 45 tahun. 

Penyakit Parkinson ini mula diketahui sejak tahun 1817. Ketika itu doktor berbangsa Inggeris, James Parkinson menamakannya sebagai Shaking Palsy tetapi kemudian ia dikenali sebagai Parkinson.Walaupun diketahui kewujudannya sejak sekian lama, tiada siapa tahu sebab sebenar serangan Parkinson. Ia adalah penyakit yang tidak boleh sembuh. Dunia perubatan secara amnya bersetuju Parkinson terjadi kerana tahap dopamine rendah di dalam otak. Namun, penyebab sebenar mengapa substantia nigra yang menghasil dopamine rosak dan mati tidak diketahui.

Sesetengah pakar perubatan mengaitkannya dengan perubahan gen tertentu dalam individu itu sendiri sebagai puncanya. Ada juga yang mengaitkannya dengan pengaruh persekitaran. Meskipun ia boleh diwarisi secara genetik dan meletakkan sesetengah orang dalam kumpulan berisiko.Serangan Parkinson tidak boleh dicegah. Ini kerana tiada rawatan atau ubat untuk melawan penyakit itu. Semua warga tua, sama ada lelaki atau perempuan berumur melebihi 60 tahun, mempunyai risiko samada mendapat Parkinson dengan nisbah dua kes bagi 1,000 (2:1000) penduduk, dan dianggarkan sekitar 10,000 rakyat Malaysia menghidapinya.


Kajian mendapati lima peratus pesakit mula diserang Parkinson sebelum mencecah umur 40 tahun. Malah, dianggarkan jumlah pesakit melonjak dalam tempoh 10 tahun berdasarkan jangka hayat penduduk yang semakin panjang. Sehingga kini penawar Parkinson belum ditemui. Ubat di pasaran hanya mampu mengawal dan meredakan gejala penyakit. Keadaan pesakit akan bertambah berat dari setahun ke setahun, walaupun sudah mendapat rawatan. Selepas lima tahun, pergerakan pesakit semakin perlahan dan sukar. Keadaan Ini menyebabkan ramai pesakit hilang harapan untuk hidup, sedih dan tertekan. Pun begitu, mereka tetap perlu mengambil ubat. Keberkesanan ubat biasanya berkurangan selepas lima tahun.

Gejala
  1. Tangan, kaki atau badan menggeletar
  2. Masalah pergerakan tidak normal (dyskinesia)
  3. Kepala, tangan dan kaki bergoyang seperti menari
  4. Serangan bermula pada sebelah badan
  5. Penyakit bertambah buruk jika pesakit mengalami tekanan perasaan
  6. Tekanan darah akan lebih tinggi

Rawatan

Pengambilan ubat seperti madopar dan sinemet bukan saja penting bagi mengawal gejala menggeletar, bahkan mampu memberikan kualiti kehidupan lebih baik kepada pesakit untuk menjalani rutin harian.  Pesakit yang tidak mendapatkan rawatan lebih cepat, menemui ajal kerana komplikasi lain termasuk mudah diserang penyakit lain seperti jangkitan paru-paru atau terjatuh akibat tiada keseimbangan badan.

Kaedah rawatan terbahagi kepada dua, iaitu am dan khusus. Rawatan am termasuk memberi sokongan moral, fisioterapi (senaman menguatkan otot dan pergerakan badan yang lancar) serta amalan pemakanan seimbang bagi mengekalkan kekuatan otot dan anggota badan. Rawatan khusus pula membabitkan dua jenis pembedahan iaitu rangsangan otak dalaman dan pembedahan otak pallidotomy.

Pembedahan rangsangan otak dalaman, iaitu penanaman bateri khas di bawah kulit dada, bertujuan memberi rangsangan kepada otak melalui elektrod halus yang disambungkan ke dua bahagian di otak, iaitu subthalamic nucleus (STN) atau globus pallidus interna (GPI) yang terlalu aktif hingga mendatangkan kesan menggeletar. Aliran elektrik pada satu atau kedua-dua bahagian ini akan membantu menyembuhkan pesakit daripada gejala secara serta-merta. Pembedahan otak pallidotomy pula membabitkan sinaran thermal (haba) yang akan mengurangkan keaktifan globus pallidus interna (GPI).

Fakta 

Penyakit Parkinson merupakan penyakit yang tidak dapat disembuhkan. Ia hanya boleh dikawal dengan ubat supaya pergerakan pesakit pulih dan tangan kurang menggeletar. Dari tahun ke tahun, gejala ini semakin bertambah. Pengambilan ubat pula bermula sehari dua kali bertambah hingga empat kali sehari. Simptom Parkinson biasanya muncul dua tahun sebelum didiagnos. Penghidap hanya mengetahui dia diserang Parkinson apabila tangannya menggeletar dan pergerakannya terjejas.

Noktah..=))

No comments: