Saturday, March 31, 2012

"Pohon Taubat..;p"

Assalamualaikum..=))

‎"Orang muslim yang mendoakan orang lain secara diam-diam, akan disambut oleh malaikat dengan berkata: Semoga untukmu juga.. (HR. Muslim)

Rasa Bersalah Itu Anugerah Taubat

Daripada benih ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ itu, Allah mahukan pohon taubat dari kita. Dengan lemah lembut Allah berfirman, maksudnya:

Wahai Anak Adam!
Selagimana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!
Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!
Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.

Allah berjanji mengampunkan dosa-dosa melalui ayat 110 Surah al-Nisa’, maksudnya: Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah berjanji mengabulkan doa melalui ayat 60, Surah Ghafir, maksudnya: Allah telah berkata; Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doamu.

Syarat-syarat Taubat Diterima di Sisi Allah

1. Menyesal bersungguh-sungguh terhadap dosa yang pernah dilakukan dan berazam untuk tidak kembali lagi melakukan dosa tersebut.

2. Memohon ampun walau sebesar mana dosa yang pernah dilakukan dengan penuh harapan agar Allah memaafkan dan  berdoa dengan sepenuh hati.

3. Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin Allah akan memperkenankannya. Sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan tidak bersungguh.

4. Tauhid yang benar. Maksudnya akidah kita betul dengan mengesakan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah.

Taubat yang bersungguh dan doa yang penuh mengharap itu akan menyegarkan jiwamu semula. Pedulikan apa kata orang padamu. Apa yang penting Allah sangat luas rahmat dan keampunanNya. Ingatilah, saat sakaratul maut menjemput kita, Allah satu-satunya zat yang dapat menyelamatkan kita. Walau sejuta pujian atau sejuta kejian manusia terhadap kita sedikit pun tidak dapat membantu kita saat penuh debaran itu. Pandanglah hari ini dan hari yang akan datang kerana Allah sudi mengampunkan dosa-dosamu. Selaklah lembaran ‘Surat Cinta Ilahi’ yakni al-Quran setiap hari. Di sana, akan kau temui siraman demi siraman kasih Allah padamu yang tidak bertepi. Akhir kata, Allah yang Maha Mengetahui tahu bahawa akan ada saat-saat manusia dihambat rasa putus asa dan lemah semangat. Justeru awal-awal lagi Allah rakamkan dalam al-Quran ayat 53 hingga ayat 54 Surah al-Zumar:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ayat 53) Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi. (Ayat 54).  Serta turutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (yakni al-Quran sebagai panduan hidup), sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedangkan kamu tidak menyedarinya. (Ayat 55).

Noktah..=))

No comments: