Monday, April 30, 2012

" Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) "


Assalamualaikum..=))


Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) pada organ dalaman

Penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau nama ringkasnya Lupus merupakan penyakit gangguan pada sistem imun tubuh pesakit yang mana sistem imun itu sendiri menjadi bercelaru dan melawan bahagian tubuh sihat yang sepatutnya dilindungi. SLE adalah gangguan yang kompleks dan punca sebenarnya tidak diketahui.

Antara faktor yang mempengaruhi terjadinya penyakit ini ialah disebabkan oleh kombinasi genetik, faktor hormon estrogen dan alam sekitar seperti terdedah kepada cahaya matahari. Penyakit ini selalunya menyerang pada bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak. Jika SLE hanya menyerang kulit, ia tidak terlalu bahaya tetapi sekiranya menyerang organ dalaman ia menjadi penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian. 

Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) pada kulit
Tiada cara untuk mengenal pasti atau melindungi diri daripada terkena SLE sebaliknya seseorang itu hanya tahu ia mempunyai penyakit SLE apabila sudah terkena. Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit itu, tetapi seiring dengan kemajuan bidang perubatan, terdapat ubat yang boleh mengawal tahap keseriusan SLE, membolehkan pesakit hidup normal tanpa sebarang masalah.Satu ujian saja tidak boleh menentukan sama ada seseorang menghidap SLE sebaliknya ujian makmal perlu dijalankan bagi mengenal pasti auto antibodi tertentu yang sering kali terdapat dalam tubuh pesakit SLE seperti ujian antinuklear antibodi (ANA) yang dijalankan untuk mencari auto antibodi yang bertindak terhadap nukleus sel badan.

Meskipun seseorang itu disahkan menghidap SLE, masih ada harapan baginya untuk menjalani kehidupan normal, tetapi perlu patuh pada nasihat doktor, mengambil ubat secara berdisiplin dan elak terdedah kepada cahaya matahari terik. Penting untuk pesakit SLE mendapatkan bantuan perubatan kerana sekiranya ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan dalam jangka panjang, ia boleh menjadi penyakit kronik dan menyebabkan kematian.

Setiap pesakit SLE menunjukkan simptom agak berbeza, dengan sebahagian menunjukkan tanda lazim seperti bengkak sendi, demam yang tidak diketahui puncanya dan keletihan ekstrim. Ada pesakit yang menunjukkan simptom seperti ruam kulit serius pada wajah berbentuk rama-rama, merentasi hidung dan pipi. Sebahagian lagi pesakit mengalami sakit dada, keguguran rambut luar biasa, anemia, ulser mulut, sakit kepala, pening, kemurungan, kekeliruan dan sawan. 

Hakikatnya, penyakit berkenaan adalah tiga kali lebih biasa berlaku dalam kalangan penduduk Asia serta di Malaysia, dan pesakit termuda yang pernah direkodkan menghidap SLE berusia lapan tahun. Kira-kira 90 peratus daripada mereka yang mendapat SLE adalah kaum wanita manakala selebihnya adalah lelaki dan kanak-kanak. SLE dikalangan wanita biasanya bermula pada usia muda dan dalam tempoh masih subur berikutan hormon estrogen yang tinggi dalam tubuh turut memainkan peranan penting yang menyumbang kepada masalah itu.

Wanita yang mendapat SLE juga tetap boleh mengandung dan mendapat anak, tetapi sekiranya SLE membabitkan organ penting seperti buah pinggang, dinasihatkan supaya tidak mengandung kerana bimbangkan kesihatannya. Dulu ketika ubat moden masih belum ada, pesakit SLE mempunyai jangka hayat yang sangat pendek iaitu sekitar lima tahun. Ini kerana pesakit SLE juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman memandangkan sistem pertahanan badan yang lemah. Selain rawatan doktor pakar, sokongan padu daripada keluarga dan pasangan juga amat penting untuk menguatkan semangat pesakit kerana penyakit ini menyebabkan perasaan menjadi lebih sensitif dan murung.

Simptom SLE
  1. Demam berpanjangan tanpa diketahui punca
  2. Ruam serius pada bahagian muka berbentuk rama-rama
  3. Kuat berpeluh 
  4. Keguguran rambut luar biasa
  5. Bengkak sendi
  6. Keletihan melampau
  7. Ruam pada kulit
  8. Ulser mulut
  9. Anemia
  10. Sakit kepala
  11. Pening
  12. Kemurungan
  13. Kekeliruan
  14. Sawan
Rawatan

  1. Patuh pada nasihat doktor
  2. Disiplin mengambil ubat
  3. Sokongan padu daripada keluarga penting untuk mempercepatkan proses rawatan

Noktah..=))