Sunday, September 16, 2012

"Strok"


Assalamualaikum..=))



Strok atau angin ahmar ialah serangan otak yang sama ada disebabkan oleh salur darah tersumbat atau berlaku pendarahan di bahagian tertentu otak. Bahagian otak yang terjejas tidak menerima oksigen mencukupi, mengakibatkan sel otak rosak atau mati, sekali gus menyebabkan bahagian tubuh yang dikawal tidak berfungsi. Jika tidak dikesan atau dirawat dengan cepat, serangan strok menyebabkan kerosakan saraf yang kekal atau kematian.

Penyakit ini menjadi punca kematian paling biasa di seluruh dunia, malah punca kematian tertinggi di negara Barat selepas sakit jantung dan kanser. Penyakit ini boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu yang berlaku selepas pendarahan otak dan strok yang bukan berpunca daripada pendarahan (strok infark). Biasanya strok pendarahan berlaku secara tiba-tiba tanpa isyarat.

Ia lebih berbahaya berbanding strok bukan pendarahan kerana serangannya boleh menyebabkan kematian manakala peluang pemulihan sepenuhnya tipis. Strok pendarahan berlaku akibat pendarahan di dalam otak. Kecederaan saraf otak yang serius boleh menjejaskan neurologi (sistem saraf), pergerakan, pertuturan, watak, penglihatan, pendengaran mahupun memori.


Pendarahan di bahagian otak yang mengawal perwatakan boleh menyebabkan pesakit kurang siuman. Bagaimanapun, jika cuma pendarahan kecil yang berlaku atau menjejaskan bahagian kanan otak, masih ada harapan untuk pulih. Pendarahan di bahagian otak kiri akan mengakibatkan kesan lebih teruk kepada pesakit.

Apabila diserang strok, pesakit akan dihantar ke bahagian kecemasan dan doktor akan membuat pemeriksaan. Satu daripada perkara penting ialah tahap kesedaran pesakit.Jika pesakit yang diserang strok jatuh koma, peluang untuknya pulih tergugat. Individu berusia 45 tahun ke atas lebih terdedah kepada strok pendarahan. Ujian imbasan otak akan dilakukan untuk mencari punca serangan strok. Ujian imbasan angiogram dijalankan bagi memeriksa salur darah di dalam otak dan membolehkan doktor mengenalpasti sebab pendarahan.

Tahap sedar pesakit akan menentukan rawatan susulan yang dijalankan selain usia dan jenis penyakit lain yang mungkin dihadapi pesakit. Rawatan untuk penyakit ini bergantung kepada faktor penyebabnya. Ada dua jenis rawatan iaitu rawatan perubatan dan rawatan pembedahan.

Untuk pesakit yang muda dengan tahap kesedaran yang kurang dan saiz pendarahan besar, pembedahan mungkin perlu dilakukan selain merawat punca. Pembedahan biasanya dilakukan untuk membuang darah beku dan mengurangkan tekanan di dalam otak. Tempurung kepala yang dibuka ketika prosedur pembedahan tidak dipasang semula selepas pembedahan untuk mengelakkan pembengkakan luka pembedahan. Selepas beberapa bulan, titanium dipasang menggantikan tempurung kepala. 

Menurutnya, jenis serangan strok yang lain boleh dirawat secara perubatan. Pesakit perlu menjalani fisioterapi dan mengambil masa lama untuk pulih, misalnya setahun. Bagaimanapun, pesakit tidak pulih 100 peratus kerana ketika berlaku pendarahan, bahagian otak terbabit mengalami kerosakan. Walaupun pembedahan dilakukan, bahagian mengandungi darah beku itu sudah terjejas.

Tidak seperti organ lain, otak tidak mempunyai kemampuan sembuh sendiri. Terapi rehabilitasi penting bagi memulihkan pesakit yang mengalami strok. Tekanan darah tinggi adalah punca utama pendarahan dalam otak. Penyakit darah tinggi yang berlarutan boleh menyebabkan salur darah kecil dalam otak bengkak dan mudah pecah. individu yang menghidap sakit jantung  boleh mengalami pembekuan darah di dalam jantung dan darah beku itu mungkin tertolak hingga ke hujung dan tersekat, menyebabkan pendarahan otak. Ubat pencair darah mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan pendarahan otak

Gejala:
  • tersungkur 
  • koma 
  • lumpuh 
  • penglihatan terjejas 
  • ingatan terjejas 
  • perubahan watak
  • Noktah..=))

    No comments: