Sunday, June 3, 2012

"Hernia"


Assalamualaikum..=))


Hernia atau angin pasang sering dikaitkan sebagai penyakit bagi orang lelaki walaupun perempuan turut mengalaminya. Penyakit ini berlaku kepada individu tanpa mengira peringkat umur yang berpunca daripada kelemahan otot tubuh yang menyebabkan kandungan dalam badan membonjol keluar.

Kandungan itu biasanya terjadi pada bahagian usus atau tisu lemak abdomen yang menembusi dinding abdomen yang kurang tebal membentuk kantung. Hernia berlaku akibat kecacatan otot di badan sejak lahir yang dikenali sebagai kongenital, manakala jenis lain berpunca daripada kerosakan otot badan disebabkan kecederaan, pembedahan atau tekanan dalam badan meningkat akibat batuk berulang kali, mengangkat objek berat, meneran, sembelit yang teruk dan sukar kencing.  Jenis hernia yang biasa ialah epigastric, umbilical, inguinal dan femoral.

Ramai lelaki mengalami hernia inguinal disebabkan proses perkembangan alat reproduksi mereka yang berbeza daripada wanita. Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan. Lubang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, kawasan itu boleh menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia.

Ada hernia yang pasang surut, tidak surut dan hernia jerutan. Hernia pasang surut boleh muncul sebagai bonjolan baru di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain. Pesakit merasa sedikit senak, tetapi lazimnya sentuhan pada bonjolan tidak menyebabkan rasa sakit. Bonjolan akan timbul atau saiznya bertambah apabila pesakit berdiri atau berlaku peningkatan tekanan dalam abdomen, misalnya disebabkan batuk.

Hernia tidak surut ialah bonjolan besar yang mungkin sakit yang sebelum ini ada pasang surut, tetapi kemudian tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendiri atau tidak dapat ditolak masuk dengan tangan. Sebahagiannya mungkin kronik iaitu dialami dalam jangka waktu lama tetapi disebabkan tidak sakit, pesakit tidak mendapatkan rawatan.

Hernia jerutan bermula sebagai hernia tidak surut yang kemudian mengalami jerutan pada bukaan hernia, menyebabkan himpitan pada salur darah seterusnya mengakibatkan usus yang terperangkap dalam bonjolan tidak mendapat bekalan darah. Pesakit merasa sakit jika bonjolan ditekan. Antara tanda usus tersumbat ialah loya, muntah dan perut kembung, malah pesakit boleh demam dan kelihatan tenat. Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan.

Untuk mendiagnosis hernia, doktor akan meminta pesakit batuk atau berdiri untuk pemeriksaan badan. Bahagian terbonjol boleh ditekan masuk dengan tangan. Semua jenis hernia patut dibedah. Ini kerana usus yang tertonjol keluar menerusi lubang hernia menyebabkannya tersumbat, seterusnya mengakibatkan pengaliran darah ke bahagian itu terganggu dan akhirnya bocor. Rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan, termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.

Jenis pembedahan yang biasa dilakukan ialah menggunakan jaring untuk menampal lubang hernia. Pembedahan terbuka atau tebukan laparoskopi dilakukan iaitu dengan penggunaan kamera dan peralatan bagi menebuk bahagian tubuh yang mengalami hernia. Tampalan jaring di bahagian berlubang boleh mengelak hernia berulang. Jaring untuk menampal bahagian berlubang diperbuat daripada sejenis plastik dan ia tidak mengandungi protein yang boleh mengakibatkan alahan atau penolakan pada tolakan.

Jangkitan kuman jarang berlaku pada jaring tampalan. Bagaimanapun, jika terjadi, komplikasi boleh dirawat dengan antibiotik tanpa pembedahan kedua. Hernia seperti inguinal, umbilical, femoral, incisional atau epigastric hernia boleh dibedah secara harian iaitu pesakit datang ke hospital untuk membuat pembedahan dan pulang ke rumah pada hari sama. Bagaimanapun, hernia besar atau ada komplikasi perlu menjalani prosedur lebih rumit, menyebabkan tidak boleh dibedah secara harian. Hernia kecil boleh dibedah dengan bius setempat. 

Pesakit hernia yang mempunyai penyakit lain seperti lemah jantung, diabetes atau tekanan darah tinggi yang terkawal masih boleh menjalani pembedahan dengan selamat. Ada sebahagian pesakit perlu diperiksa oleh pakar perubatan dan pakar bius sebelum pembedahan dibenarkan. Selepas menjalani pembedahan, pesakit sembuh dengan cepat dan boleh melakukan tugasnya tanpa gangguan dan selamat. kerja di pejabat boleh diteruskan seperti biasa dua atau tiga hari selepas pembedahan.

Noktah..=))

2 comments:

che mid said...

Salam kenal dari Che Mid, terima kasih sudi folo ya..

wawa said...

wasalam.. terima kasih jg..:D