Monday, November 21, 2011

" Apakah itu ISO? "


Assalamualaikum..==))

Standard kepada semua hanyalah sepatah perkataan sahaja. Pengguna terutamanya, tidak sedar akan peranan yang dimainkan oleh standard dalam kehidupan harian mereka. Sebagai contoh, pembelian sesuatu jenis bateri adalah senang dan mudah kerana spesifikasi untuk bateri telah distandardisasi. Standard sebenarnya adalah suatu dokumentasi persetujuan yang mengandungi penerangan atau spesifikasi teknikal terhadap produk dan perkhidmatan  untuk memastikan bahawa produk dan perkhidmatan yang dipasarkan itu adalah selamat dan sesuai digunakan oleh pengguna. Dengan lain perkataan, standard memberi jaminan bahawa produk dalam pasaran adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan pengguna.



Ramai di antara kita mungkin bertanya, “Siapakah yang bertanggungjawab dalam pembentukan standard antarabangsa?”.  

Jawapannya mudah sahaja iaitu International Organization for Standardisation (ISO). ISO merupakan satu badan pertubuhan antarabangsa yang terdiri daripada beberapa jawatankuasa standard kebangsaan dari 130 buah negara. Ia ditubuhkan pada tahun 1947 dengan objektifnya adalah untuk mempromosi dan mempertingkatkan standardisasi di seluruh dunia bagi memudahkan perdagangan di peringkat antarabangsa. 

Di samping itu, ISO juga bermatlamat untuk mewujudkan kerjasama antarabangsa dalam pelbagai bidang seperti intelek, saintifik, teknologi dan ekonomi. ISO bermula dengan misi pertamanya iaitu menstandardisasi saiz mentol lampu, skru, bateri dan beberapa produk pengguna yang lain. Seterusnya, ISO beralih kepada menetapkan satu format untuk kad-kad kredit, kad-kad telefon, serta kad-kad pintar. Kad-kad yang mematuhi standard ISO ini mempunyai ciri-ciri tertentu seperti ketebalan kad bersamaan dengan 0.76 mm.

Standard yang telah dibentuk ini membolehkan kad-kad tersebut digunakan di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Pembentukan Standard ISO adalah hasil usaha perbincangan di antara beberapa jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang iaitu pakar dalam sektor perindustrian, teknikal dan perniagaan, perwakilan daripada agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli pencinta alam, persatuan-persatuan pengguna dan lain-lain lagi. Secara keseluruhannya, seramai lebih kurang 30,000 pakar mengambil bahagian dalam mesyuarat sebegini setiap tahun. Pendek kata, ahli jawatankuasa boleh mengambil bahagian dalam pengundian tentang isu-isu teknikal ISO..

Noktah..==))

No comments: