Monday, November 21, 2011

"Standardisasi di peringkat Nasional"


Assalamualaikum..==))


Setelah memberi satu gambaran global tentang isu standard di peringkat antarabangsa, eloklah sekiranya kita mengkaji pula status standard di Malaysia. Jabatan Standard Malaysia (DSM) merupakan satu badan yang bertanggungjawab dalam membentuk dan membangunkan standard Malaysia. Seperti juga ISO, standardisasi di peringkat nasional dicapai melalui persetujuan sebulat suara oleh ahli-ahli jawatankuasa yang  dibentuk. 

Terdapat juga di antara standard-standard di Malaysia yang diperolehi sepenuhnya daripada standard antarabangsa. Misalnya, ISO 9000, dan ISO 14000. Siri ISO 9000 memberi keutamaan kepada kualiti dalam bidang pengurusan. Sebagai contoh, Boh Plantation Sdn Bhd telah diiktirafkan ISO 9000 dan jenamanya terkenal di seluruh dunia. Ini adalah kerana prestasinya yang cermerlang dalam standard pembungkusan teh berkualiti tinggi dan konsisten.

Siri ISO 14000 pula memberi galakan dan dorongan kepada sektor industri di Malaysia agar bersifat lebih mesra alam. SIRIM Berhad telah dilantik oleh DSM untuk menjalankan tanggungjawab terhadap pembangunan standard Malaysia pada peringkat teknikal. Sirim telah lama menceburkan diri dalam persaingan kualiti dan kecekapan industri. Antara tanggungjawab Sirim termasuklah mengeluarkan sijil ISO 9000 dan ISO 14000 kepada syarikat-syarikat yang layak.

Sirim turut mengeluarkan dua jenis lesen kepada pengilang-pengilang di Malaysia. Lesen itu diberi nama “MS” dan “S”. Pemegang lesen ini boleh menggunakan tanda tersebut pada produk mereka yang bakal dipasarkan. Sekiranya produk yang telah disahkan oleh Sirim disyaki sebagai punca sesuatu malapetaka, Sirim akan bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan terhadap punca kejadian tersebut. Untuk pengetahuan umum, barangan elektrik seperti multisoket dan multiplug adapter boleh mengakibatkan kejutan elektrik dan kebakaran sekiranya ia diperbuat daripada bahan yang berkualiti rendah. Oleh itu, semasa membeli barangan elektrik, pastikan bahawa barangan tersebut mengandungi cop Sirim!

Noktah..==))

No comments: