Sunday, November 27, 2011

"Apakah itu strok?.."

Assalamualaikum..==))

Strok adalah keadaan dimana bekalan darah ke sebahagian otak tiba-tiba terputus. Ini kerana sel otak memerlukan bekalan oksigen yang berterusan daripada darah. sekiranya bekalan darah terputus, sel di dalam kawasan yang terjejas di otak menjadi rosak atau mati. 

Disebabkan kurang kefahaman, ada yang menyangka ia serangan jantung. Namun, strok ialah serangan otak akibat berkurangnya aliran darah dan oksigen ke otak. Masalah itu disebabkan saluran darah yang tersumbat, sempit atau pembuluh darah pecah. Kebanyakan kes berlaku di kalangan mereka yang berusia lebih 65 tahun. Bagaimanapun, ia boleh berlaku kepada sesiapa saja tidak mengira usia, termasuk kanak-kanak. Setiap tahun, kira-kira 110,000 orang di Britain diserang strok awal manakala kira-kira 30,000 mengalami kes strok berulang. 

Penyakit ini menjadi punca terbesar hilang upaya, selain punca ketiga paling lazim kematian selepas penyakit jantung dan kanser. Antara gejala strok ialah ia terjadi secara tiba-tiba, pesakit terasa kebas sebelah badan sama ada kaki atau tangan, butir percakapan tidak difahami dan sakit kepala yang teruk mahupun pening secara mendadak. Pesakit juga mungkin mengalami muntah-muntah dan tidak seimbang/stabil ketika berjalan serta nampak keliru.

Perunding Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Julia Shahnaz Merican, berkata sebilangan individu mungkin mengabaikan gejala awal dan kurang berwaspada dengan penyakit itu, tambahan pula ia sukar dikenali. Mengenali gejala strok mungkin dapat membantu seseorang mengelak kejadian tidak diingini. Pesakit strok mungkin menderita kerosakan otak atau lebih buruk lagi, koma atau menyebabkan kematian. 

Punca strok 
Ada dua jenis utama iaitu strok iskemik dan hemoragik. 

Strok iskemik 
Berlaku pada kira-kira tujuh dalam 10 kes. Iskemik bermakna bekalan darah dan oksigen berkurangan ke bahagian badan. Kes biasa strok disebabkan darah beku dalam arteri yang menghalang aliran darah. 
  • Darah beku selalunya terbentuk di dalam arteri itu sendiri. Ini biasanya berlaku terhadap tampalan lemak bahan yang dipanggil ateroma.
  •  Dalam sesetengah kes, darah beku terbentuk di bahagian lain tubuh dan kemudian bergerak dalam aliran darah. Contoh paling biasa ialah darah beku dalam kebuk jantung akibat aliran darah yang tidak normal. Ini mungkin berlaku dalam situasi yang dipanggil fibrilasi atrium. Darah beku kemudian dibawa dalam aliran darah sehingga ia terperangkap dalam arteri di dalam otak. 

Strok hemoragik (pendarahan) 
Arteri yang rosak atau lemah boleh ‘pecah’ dan berdarah:
  •  pendarahan intraserebrum ialah apabila saluran darah pecah di dalam otak. keadaan ini menyebabkan darah tumpah ke dalam tisu otak berhampiran. Ini boleh menyebabkan sel otak berkenaan terputus bekalan oksigen, lantas menjadi rosak atau mati. 
  • pendarahan subaraknoid apabila salur darah pecah dalam ruang subaraknoid iaitu merupakan ruang sempit di antara otak dan tengkorak. Ruangan ini biasanya terisi dengan cecair dipanggil bendalir serebrospina. Kira-kira satu dalam 20 hentakan menyebabkan pendarahan subaraknoid. 
Sebab yang tidak pasti dalam segelintir kes strok 
Strok menyebabkan kerosakan otak. Gejala dan hilang upaya akibat strok berbeza bergantung kepada bahagian otak yang terjejas dan tahap kerosakan. Rawatan termasuk ubat-ubatan untuk mengurangkan ‘faktor risiko’. Pemulihan adalah sebahagian besar daripada rawatan. 

Gejala strok 
Fungsi bahagian yang berlainan dalam badan dikawal oleh bahagian berlainan dalam otak. Maka, gejala berbeza bergantung kepada bahagian otak yang terjejas dan pada saiz bahagian yang rosak. Gejala yang timbul biasanya termasuk satu atau lebih daripada yang berikut: 
  • Lemah lengan, kaki atau kedua-duanya. Ini mungkin kesan berlakunya lumpuh sebelah badan atau sebelah tangan yang sederhana 
  •  Lemah dan ‘herot’ sebelah muka. Ini boleh menyebabkan air liur meleleh disebabkan hilang fungsi otot mulut untuk mengawal 
  •  Masalah penglihatan, pertuturan, komunikasi, penyelarasan atau menelan 
  •  Rasa kebas di bahagian badan 
  •  Sakit kepala, pening dan keliru 
  •   Koma 
Apakah strok mini (TIA)? 
Strok mini gejala kelihatan seperti strok tetapi menyerang dan menghilang tidak sampai 24 jam. Ia disebabkan kekurangan sementara darah ke otak. Dalam kebanyakan kes, TIA disebabkan darah beku kecil yang terperangkap dalam saluran darah (arteri) di dalam otak, seterusnya menghalang pengaliran darah dan menyebabkan sebahagian daripada otak kekurangan oksigen. Bahagian otak yang kekurangan oksigen terjejas hanya selama beberapa minit, dan pulih tidak lama kemudian. 

Kesan mendapat strok 
Jenis dan sejauh mana kecacatan disebabkan oleh strok mungkin jauh berbeza. Ia bergantung kepada tahap kerosakan kepada otak. Strok yang besar boleh menyebabkan kematian. Strok kecil boleh menyebabkan masalah kecil yang mungkin pulih sepenuhnya dari semasa ke semasa. 

Jenis masalah yang mungkin berlaku termasuk satu atau lebih daripada yang berikut: 
  • Lemah sebelah badan. Ini boleh menimbulkan masalah untuk melangkah seandainya kaki terjejas, atau sukar menggunakan lengan atau tangan dengan betul 
  •  Masalah dengan keseimbangan dan penyelarasan 
  •  Masalah untuk menelan makanan. Dalam kes tertentu, ia boleh membahayakan kerana makanan mungkin memasuki hujung salur udara dan tidak turun ke tekak apabila anda makan. Disebabkan itu, ‘ujian menelan’ biasanya dilakukan terhadap pesakit strok sebelum mereka dibenarkan makan atau minum. Ini bagi memastikan mereka dapat menelan dengan selamat. Jika wujud kesukaran teruk untuk menelan, pesakit mungkin perlu makan dan minum melalui tiub yang dimasukkan ke dalam perut 
  • Ucapan dan kesukaran komunikasi. Mungkin berlaku kesukaran mencari kata-kata yang tepat atau tidak dapat bercakap. Kemampuan untuk membaca atau menulis juga mungkin terjejas
  • Masalah penglihatan. Jika bahagian otak berkaitan penglihatan terjejas, masalah mungkin timbul. Sebagai contoh, beberapa orang diserang strok mengalami penglihatan berganda, manakala sebahagian lagi kehilangan separuh daripada bidang penglihatan mereka
  • Kesukaran dengan proses mental. Sebagai contoh, mengalami kesukaran dalam pembelajaran, tumpuan mahupun mengingat 
  •   Emosi terjejas. Berikut strok, sesetengah orang mungkin menangis atau ketawa pada masa tertentu tanpa alasan jelas  dan keletihan 
Jenis ujian yang diperlukan 
Doktor biasanya boleh mendiagnosis strok daripada gejala yang biasa dialami pesakit. Ujian yang biasa dilakukan termasuk: 
  •  Imbasan otak (CT scan atau imbasan MRI). Ini boleh menentukan jenis strok (iskemik atau hemoragik) dan menyisihkan gejala jarang berlaku yang boleh menyebabkan strok atau mungkin menyerupai gejala strok 
  •  Ujian darah untuk memeriksa paras gula di dalam darah dan paras kolesterol. Paras tinggi boleh meningkatkan risiko strok 
  •  Ujian X-ray di dada dan ECG (mengesan jantung) untuk memeriksa jantung atau paru-paru yang mungkin menjadi punca strok (misalnya, fibrilasi atrium) 
Faktor risiko yang boleh dielakkan: 
  • jika merokok, anda perlu berusaha sedaya upaya untuk berhenti. Bahan kimia dalam tembakau dibawa di dalam saluran darah dan boleh merosakkan arteri anda. Jika anda merokok dan berhenti, ini boleh mengurangkan risiko mendapat strok 
  • Tekanan darah tinggi. Pastikan tekanan darah diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun. Jika tinggi, ia boleh dirawat. Tekanan darah tinggi biasanya tidak menyebabkan gejala, tetapi boleh merosakkan arteri. Jika tekanan darah anda tinggi, rawatan tekanan darah mungkin langkah sangat berkesan dalam usaha mengurangkan risiko anda mendapat strok. 
  • jika mempunyai berat badan berlebihan, anda dinasihatkan mengurangkan berat badan dan mengurangkan Kolesterol.     
  •  Tidak bersenam. Jika boleh, anda perlu berusaha melakukan beberapa aktiviti fizikal yang sederhana pada hari biasa sekurang-kurangnya 30 minit. Sebagai contoh, berjalan pantas, berenang, berbasikal, menari atau berkebun
  •  Anda perlu berusaha mengamalkan diet sihat 
  • Diabetes antara faktor risiko. Jika anda mempunyai diabetes, rawatan untuk menyimpan gula dalam darah anda dengan seberapa normal yang mungkin adalah penting.
Noktah..==))

No comments: